EPISOD BARU ALAA, NOOR DAN KARIM

Whatsapp Image 2018 04 03 At 17.02.08

Alaa, Noor dan Karim, kanak-kanak dan bayi dari Timur Ghoutah yang memberi impak kepada masyarakat dunia terhadap kesan kemusnahan angkara kepungan dan pengeboman regim Bashar al Assad dan konco-konconya ke atas orang awam.

Karim, yang hilang sebelah mata dan kematian ibunya dalam serangan udara Disember lalu mendapat sokongan seantero dunia selepas deritanya menjadi tular di media sosial.

Alaa dan Noor puala menjadi “suara” kepada penderitaan kanak-kanak dan mereka yang lain kerana dikepung tentera kerajaan lima tahun lalu.
Meskipun berada dalam zon perang, si cilik dua beradik ini mempunyai pengikut menjangkaui sempadan negara dan benua.

Platform itu digunakan mereka untuk berkongsi kisah, gambar serta visual penderitaan yang ditanggung.

Tidak dapat disangkal, kanak-kanak Syria mempunyai suara keramat untuk membuka mata masyarakat antarabangsa terhadap nasib mereka.

Alaa dan Noor sendiri mengakui mereka dipengaruhi inisiatif yang dibuat Bana al Abed yang hampir sebaya dengan usia mereka ketika Aleppo dibantai tanpa henti oleh regim Bashar al Assad dan konco-konconya dua tahun lalu.

Kini, ketiga-ketiga ikon dari Timur Ghoutah ini telah selamat dan berada di Hatay, Turki.

Selepas melepasi pintu sempadan Babul Hawa di Syria dan memasuki Cilvegözü, di Reyhanli, ketiga-tiga mereka memulakan episod baru dengan keadaan yang aman, impian semua manusia di atas muka bumi ini.

Lebih bermakna, kehadiran mereka dirai sendiri pemimpin nombor satu Turki, Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Dalam usia yang masih bayi, Karim tidak akan mengingati apa-apa peristiwa masa lalunya di Timur Ghoutah.

Namun, kecacatan kekal di wajahnya, menjadi bebanan dan derita yang terpaksa ditanggung sepanjang hayat.

Bagi ayahnya, Abu Muhammed, keadaan di Turki memberi harapan baru selepas sekian lama bertarung dengan maut di tanah air sendiri.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Turki dan Presiden Recep Tayyip Erdogan dan sesiapa sahaja yang bersama kami,” katanya kepada Anadolu.

Berbeza dengan Karim, Alaa dan Noor, dibawa keluar tanpa kecacatan fizikal meskipun jiwa mereka dicalari luka peperangan.

Dalam usia kanak-kanak yang penuh fantasi, Alaa dan Noor begitu teruja keluar dari kesengsaraan di Timur Ghoutah.

“Sampai kami lupa takut. Kami selamat dari pengeboman dan kapal terbang. Kami berharap untuk melihat kanak-kanak Syria hidup dalam keadaan aman dan selamat,” kata mereka di status laman Twitter yang dikongsi pada Isnin.

Kini, ketiga-ketiga ikon dari Timur Ghoutah telah selamat dari perang saudara di Syria. Namun jutaan lagi yang sebaya dengan mereka masih berdepan dengan maut.

Semoga di tempat baru, Alaa, Noor dan Karim terus mencetus semangat kepada masyarakat dunia untuk bertindak menghentikan serangan dan pembunuhan ke atas mereka yang tidak berdosa di Syria.

Kongsi Artikel Ini