Dua lagi bayi maut di Rukban

14.12

Dua lagi bayi berusia di bawah enam bulan menjadi korban terbaru di kem Rukban.

Kematian itu dikaitkan dengan kekurangan keperluan asas, ubat-ubatan dan cuaca dingin di musim sejuk.

“Satu lagi minggu sedih bagi kanak-kanak dan keluarga di Rukban. Dua bayi berusia bawah enam bulan meninggal dunia di Rukban.

“Penghantaran bantuan kemanusiaan dan keperluan ubat-ubatan amat dialu-alukan tetapi lebih banyak diperlukan,” kata Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dalam kenyataan.

Berikutan keadaan yang berlaku, ia sekali lagi meminta semua pihak prihatin untuk memberi pelepasan penghantaran bantuan kemanusiaan supaya ia sampai kepada semua kanak-kanak di Rukban dan di tempat lain di Syria.

Mengulas mengenai perkembangan itu, Pengarah UNICEF bagi Wilayah Asia Barat dan Afrika Utara, Geert Cappelaere berkata, pada masa sekarang pelarian mempunyai bekalan asas yang amat terhad, keadaan kesihatan yang teruk dan berada dalam ketakutan dan tinggal di negara yang mempunyai risiko jenayah dan keganasan.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Rendah PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan, Mark Lowcock mengumumkan konvoi kemanusiaan akan dihantar ke Rukban pada penghujung Disember.

Ia akan membawa makanan, air bersih, peralatan kebersihan, perubatan dan keperluan logistik lain termasuk selimut dan tilam bagi membantu pelarian menghadapi musim sejuk.

Sehubungan itu beliau meminta semua pihak di Syria memberi kerjasama bagi membolehkan bantuan berkenaan dihantar tanpa dihalang atau ditangguh.

Menurut Lowcock, di beberapa kawasan di Syria yang telah beralih kuasa, ia masih belum dapat diakses misi bantuan.

Beliau menganggarkan di kawasan yang menempatkan 1.6 juta penduduk di situ, tidak sampai 60 peratus berjaya dimasuki./Gambar AP.

Razali Awang
Media Syria Care

Kongsi Artikel Ini