Dibom tiga jam tanpa henti

40243278 250467822468467 7379048376270061568 N

 

Tentera regim Bashar al Assad dan sekutunya dilapor bersiap sedia untuk melancarkan operasi darat besar-besaran ke atas kedudukan kumpulan penentang di Idlib dan beberapa kawasan di Aleppo.

Ia dilakukan selepas serangan udara secara besar-besaran dan pengguguran bom barel tanpa henti selama tiga jam di kawasan berkenaan.

Dalam kekejaman terbaru ke atas penduduk Syria, ia membunuh berpuluh nyawa orang awam.

Menurut aktivis media dari Khan Sheikhoun, Hussein Kayal, serangan ke atas bandar itu dibuat secara tiba-tiba selepas tiga bulan ia berada dalam keadaan tenteram.

“Pengeboman telah dibuat selama tiga jam tanpa henti,” katanya.

Setakat ini, sekurang-kurangnya lapan orang awam menjadi sasaran dan tiga lagi termasuk seorang kanak-kanak di kawasan berhampiran, Al Tah.
Sejam selepas itu, serangan yang sama dibuat ke atas Orum al Kubra yang terletak bersebelahan dengan Aleppo.

Lebih 20 dilaporkan terbunuh di situ.

Sementara itu, Syrian Observatory for Human Rights (SOHR), Rami Abdel Rahman mengesahkan, serangan udara terbaru yang dilancarkan turut disertai Rusia.

Katanya , ia paling sengit sejak Idlib diisytihar sebagai zon bebas perang, Mei tahun lalu.

Menurut SOHR, tentera regim Bashar dan sekutunya telah memperkukuh kedudukan tentera dan logistik berhampiran barat daya Idlib sejak beberapa hari lepas.

Idlib menjadi kawasan bebas perang terakhir yang masih bertahan selepas tentera regim Bashar al Assad dan sekutunya, Rusia bertindak mencabuli persepakatan yang dibuat sebelum ini.

Turki yang menempatkan 12 kedudukan tentera di sebahagian besar wilayah itu telah memberi amaran tidak akan berdiam diri sekiranya ia diserang.

Razali Awang
Media Syria Care

Kongsi Artikel Ini