Demi kasih sanggup bermalam di kubur

Whatsapp Image 2019 09 17 At 8.53.57 Am

Satu ketika dahulu hidup Mohammad al Saddir ceria meskipun bertahun-tahun berdepan dengan pelbagai kesukaran akibat konflik di Syria.

Usikan, rengekan dan usikan manja anak perempuannya, Islam menghidupkan suasana keluarga.

Namun, saat-saat indah itu kini hanya tinggal kenangan. Selepas 14 September lalu, hari-hari mendatang yang dilalui tidak lagi sama.

Islam yang selama ini menggembirakan keluarganya, telah tiada. Dia telah kembali kepada Yang Maha Esa….

Anak perempuannya terbunuh angkara serangan regim Bashar al Assad dan sekutunya ke atas orang awam di Maarat al Nu’man.

“Setiap malam, anak perempuanku Islam akan tidur bersama di sisi.

“Sekarang dia tidur sendirian.

“Aku menghabiskan sepanjang malam tidur di sisinya di kubur,” luah Mohammad al Saddir kepada aktivis media Syria yang dikenali Hafezalhor dan kemudian dikongsi di laman Twitter.

Dalam satu lagi klip yang dirakamkan, dia meluahkan kata-kata ini.

“Engkau menjadi musuh aku. Kau membunuh anak aku dengan senjata kamu,” Rakaman itu kemudian dimuat naik di YouTube dengan tajuk From Maarat al Nu’man to Russia.

Maarat al Nu’man, bandar kedua terbesar di Idlib menjadi sasaran baru selepas Khan Sheikhoun berjaya ditawan tentera Bashar dan konco-konconya.

Meskipun mengisytiharkan gencatan senjata pada 31 Ogos lalu selepas lebih empat bulan melancarkan serangan tanpa henti ke atas kedudukan orang awam di Idlib dan sebahagian Hama, regim dan sekutunya, Rusia berterusan mengkhianatinya.

Tidak sampai 12 hari serangan dihentikan, mereka kini kembali mengganas dan menyambung semula serangan ke atas beberapa kawasan yang dikuasai kumpulan anti kerajaan. /Foto MMC

Razali Awang
Media Syria Care

Kongsi Artikel Ini