Bersembang dengan peniaga kopi, di tengah bandar Idlib, Samir Abu Najib bagaikan tiada apa yang berlaku.
Kunjungan saya bersama Shadi al Uwainah dan penduduk tempatan, Abu Bakar al Latakia disambut dengan penuh ceria.
Dia begitu gembira menerima singgahan kami.
Di sebalik keramahannya, ada peristiwa pahit yang terpaksa dilalui bapa berusia 36 tahun ini.
Dua minggu lalu, anak bongsunya menemui ajal selepas menjadi mangsa serangan bom yang dilancarkan regim Bashar al Assad.
Selepas menunggu sembilan bulan, dia hanya sempat menikmati saat indah bersama bayinya hanya dua hari!
“Bayi aku dibunuh Bashar”, katanya sambil memaksa kami meminum kopi di warungnya.
Dalam keadaan serba payah, dia tetap menolak wang dan berkali-kali mengulangi kata-kata ini.
“Engkau saudara kami yang datang dari jauh, Malaysia untuk menolong rakyat Syria.
“Ini yang aku boleh bagi untuk kamu,” kata-kata yang membuat mata ini berkaca.
Dalam hidupnya serba payah, nilai keihsanannya begitu tinggi.
Dalam keadaan penduduk bandar itu bertarung antara hidup dan mati, berapalah sangat pendapatan hariannya.
Tanpa keluhan, rungutan dan kekesalan. Cekal sungguh semangat ahli Syam ini.
Rutin hidupnya kembali seperti biasa, mencari rezeki untuk meneruskan hidup seperti orang lain meskipun masa depannya sama sekali tiada jaminan.
Meskipun Rusia memberi jaminan kepada Turki dan masyarakat antarabangsa untuk melaksana gencatan senjata bersama regim Bashar al Assad, ia sukar dipercayai.
Di hari yang sama kedua presiden berkenaan bertemu, 14 maut termasuk lima wanita dan dua kanak-kanak serta mencedera lebih 20 yang lain dalam serangan bom yang dilancarkan tentera regim ke aras Maarat Misrin.
Sasarannya, pelarian yang berlindung di ladang ayam!
Di malam hari sehingga ke pagi 6 Mac 2020, pencabulan yang sama dibuat ke atas pedalaman Aleppo, Idlib dan Hama.
Pelaksanaan hasil perbincangan empat mata antara Presiden Recip Tayyib Erdogan dengan Vladimir Putin di Moscow 5 Mac lalu tidak menjanjikan sebarang masa depan kepada mangsa konflik di Syria, khususnya di utara negara berkenaan.
Sama ada di selatan dan timur tentera regim Bashar sekutunya berada begitu hampir, kurang 10 kilometer dari pusat bandar itu.
Samir seperti hampir sejuta mereka yang berada di bandar Idlib dan kawasan sekitarnya sebenarnya tiada pilihan. Mereka hanya mampu bertahan.
“Nyawa kami bergantung kepada walkie-talkie” kata Abu Bakar ketika kami berbual sewaktu menunggu Shadi membeli hadiah untuk diagih kepada anak yatim.
Ke mana lagi mereka mampu lari kerana di utara wilayahnya yang bersempadan dengan Turki seperti Sarmada, Bab Hawa, Atma dan Afrin di Aleppo telah padat dengan hampir empat juta pelarian?
Kini segalanya bergantung kepada takdir .
Razali Awang
Media Syria Care