Berniaga di perantauan. Yasin si penjual falafil.

154603385 1401221796883402 33719264680405561 N

Kami tiba di kediaman kami di Istanbul hampir jam 8 pagi. Sebaik tiba, kami terus punggahkan beg-beg kami ke kaki lima. Tidak mahu membuang masa atau membuat pemandu kami tertunggu-tunggu. Cukuplah dia menunggu lama di lapangan terbang. Zaman Covid ini segala urusan menjadi lambat.

Di bilik, kami berehat setelah perjalanan hampir 11 jam tanpa henti. Kerana banyak urusan perlu diselesaikan sebelum bertolak, Omma masih ke pejabat siang sebelum penerbangan. Badan memang terasa teramat penat. Syukur sempat melelapkan mata dalam penerbangan.

Tepat jam 10 pagi, kami semua keluar mencari sarapan. Cuaca pagi ini dingin tetapi masih terasa nyaman kerana matahari bersinar. Tidak banyak kereta di jalanraya kerana hari minggu kerajaan Turki melaksanakan lockdown.

Namun kedai makan dibenarkan beroperasi untuk tujuan belian atas talian dan penduduknya dibenarkan berjalan kaki untuk berurusan berhampian rumah mereka.

Tetapi orang luar yang datang melancong mahupun bertugas tiada larangan untuk mereka. Malah boleh menyewa kereta ke kawasan lain.

Kami lalu di sebuah kedai kecil berhampiran Masjid Sultan Al Fatih.
Kelihatan tuan kedai lincah menyediakan falafil. Kami pun bersetuju untuk membeli darinya.

Sambil tangannya ligat menggoreng falafil dia jugalah yang membungkus sanwic kami. Terdengar bicaranya Omma mendapat tahu beliau berasal dari Syria. Omma mengambil peluang berbual dengannya.

“Shu ismak?” Omma membuka bicara bertanya namanya.
“Ismi Yasin” Nama saya Yasin jawabnya. Dari perbualan ringkas dengannya Omma mendapat tahu beliau berniaga di situ sejak 3 tahun lepas. Hidup sebagai pelarian di negara orang bukan sesuatu yang mudah.

“Saya kehilangan semua yang saya miliki hanya dengan satu bom barrel. Rumah saya hancur ke bumi dan ahli keluarga saya tertimbus di bawahnya. Saya terselamat kerana kebetulan tiada di rumah ketika itu.Demi menyelamatkan nyawa, saya melarikan diri dan mencari jalan untuk meneruskan kehidupan”.

Omma tidak dapat membayangkan berada di tempatnya. Omma cuma mampu doakan Allah kuatkan hatinya supaya terus tabah.

Melihat kami menunggu lama kerana hanya dia seorang di kedai, Yasin menghulurkan falafil panas untuk kami makan dahulu. Rangup di luar dan lembut di dalam. Tidak sedar sebentar sahaja habis sebiji falafil Omma makan.

Selepas membayar harga makanan dan teh kami melangkah ke Masjid Al Fatih untuk menjamu selera di perkarangannya. Omma memang suka teh Turki yang pekat,kelat dan manis.

Cuaca dingin dengan limpahan cahaya matahari, angin lembut meniup sambil melihat burung merpati dan camar berterbangan. Cukup menenangkan. Terasa cukup tenang dan mendamaikan.

Patut pun kucing dan anjing di situ kelihatan baring tidak bergerak. Kelihatan beberapa orang lalu-lalang di sana dan kanak-kanak bermain.

Omma teringat ke Yasin penjual falafil kami. Setelah segala cabaran yang dilalui beberapa ketika sebelum perjalanan kami,Omma berdia agar urusan kali yang lain dipermudahkan.

Tolong doakan Omma ya?
Sayang semua.

Siti Sakinah binti Meor Omar Baki a.k.a Omma Sakinah
Ketua Misi Kemanusiaan Syria Care 12.0
Istanbul Turki.
Sabtu, 27 Februari 2021

#iamahumanitarianworker#misikemanusiaansyriacare12#travelogomma#ommatravels

Kongsi Artikel Ini