BASHAR SI PENYEMBELIH

2017 12 19 11.57.00

Regim Bashar al Assad dan konco-konconya, bersedia melancarkan serangan besar-besaran ke atas kawasan pinggir Harasta yang masih menjadi kubu kuat kumpulan penentang, Faylaq Al-Rahman and Harakat Ahrar Al-Sham meskipun puluhan ribu orang awam masih terperangkap di situ.

Menurut laporan yang dipetik berita atas talian pro Hizbullah, Al Masdar News, kawasan berkenaan menjadi keutamaan kerana kedudukannya yang strategik di pinggir Damsyik.

Selepas pasukan khas yang dikenali Tiger Forces dan Divisyen Keempat Tentera Syria berjaya membahagi tiga kawasan yang menjadi kubu kuat kumpulan anti kerajaan, tentera berkenaan melakukan operasi darat berskala besar bermula Ahad.

Serangan yang dibantu pesawat udara dikatakaan berjaya melemahkan penentangan. Bashar optimis bahawa matlamat untuk menawan saki baki kawasan yang masih dikuasai seterusnya membuahkan hasil, wai ma dengan memakan korban orang awam yang tinggi.

Sejak bermula 18 Februari lalu, lebih 1099 nyawa telah melayang termasuk lebih 227 kanak-kanak dan 145 wanita.

Serangan ke atas Timur Ghoutah hanya secebis episod kezaliman ke atas rakyatnya sendiri. Dalam apa juga cara, pemimpin yang berusia 52 tahun itu tekad untuk menyembelih mana-mana rakyat Syria yang menentang kuasanya.

Perwatakan tidak berperikemanusiaan bukan suatu yang asing dalam legasi al Assad kerana bapanya sendiri iaitu Hafiz al Assad pernah melakukan perbuatan terkutuk yang sama di Hama pada 2 Februari 1982.

Ketika itu, kebangkitan orang awam yang diteraju kumpulan Sunnah dan Ikwanul Muslimin telah dikepung di bandar berkenaan selama 27 hari.

Tanpa belas ehsan, Hafiz mengarahkan adiknya, Rifaat al Assad mematikan kebangkitan dengan menggempur bandar Hama.

Akibatnya, lebih 40,000 penduduk telah dibunuh dengan pelbagai cara termasuk dibom, ditembak dan didera.

Itu tidak termasuk mereka yang hilang tanpa berita atau mati dalam tahanan.

Kezaliman bukan sesuatu yang asing dalam kepimpinan Bashar dalam meneruskan legasi kuasanya.

Jika dibandingkan dengan penyembelihan yang sedang dilakukannya di Timur Ghoutah, ia sedikitpun tidak mengundang perasaan simpati daripada beliau.

Selain mewarisi darah penyembelih, pentadbiran Bashar sendiri dikelilingi para pembunuh.

Bagi pemimpin sebegini, apalah sangat nyawa penduduk Timur Ghoutah yang dilabelnya sebagai pemberontak dan pengganas.

Bashar tidak akan berhenti membunuh kerana dia yang menganut ajaran Syiah Nushairiyah melihat kuasa yang ada pada dirinya adalah mutlak dan tiada cela.

Atas kepercayaan yang sama dia disembah pengikutnya sebagai “Tuhan”.

Kongsi Artikel Ini