Sekurang-kurangnya 17 orang awam maut selepas pesawat tentera regim Bashar al Assad melancarkan serangan ke atas hospital dan kawasan padat di Idlib.
Menurut agensi berita Anadolu, bandar Binnish, Taftanaz, Ariha, serta kampung Ram Hamdan dan Bani Ezz telah menjadi sasaran pada petang Ahad.
Taftanaz mencatat korban paling ramai dengan lapan kematian.
Empat daripada mangsa yang terdiri daripada tiga kanak-kanak serta seorang wanita tebunuh apabila Hospital Kanak-Kanak Al Nour dibom.
Serangan itu juga memaksa pengagihan juadah berbuka puasa hasil sumbangan rakyat Malaysia melalui Syria Care di Taftanaz diagih ke kawasan lain yang lebih selamat.
Keputusan itu dibuat bagi mengelak orang awam yang berkumpul untuk mendapatkan pek makanan yang dikendali rakan kongsinya di sana menjadi sasaran serangan udara.
Menurut Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki, perkara berkenaan dimaklumkan kepadanya melalui pesanan suara WhatsApp.
“Baru sahaja sebentar tadi saya menerima berita dari ketua Muassasah al Ahbab Sheikh Abdullah Rahhal. Beliau berkongsi ‘voice note’ bunyi serangan yang baru sahaja berlaku berhampiran dapur kita di Taftanaz,Idlib.
“Berdebar hati saya mendengar bunyi kapalterbang dan bom yang dijatuhkan, terbayang di kepala berapa pulalah yang menjadi mangsa akibat serangan,” katanya.
Tambah Siti Sakinah, ketika serangan dilancarkan di kawasan berhampiran, terdapat 40 orang petugas yang mengagih iftar di di situ.
Memandangkan keadaan tidak selamat, mereka kemudian berpindah di kawasan lain kerana jika diteruskan juga, ia menjadi terlalu berisiko .
“Namun pada saya keselamatan para petugas kita perlu diberi keutaamaan juga.Jadi sama-samalah kita mengambil peluang sebelum berbuka hari ini untuk mendokan keselamatan mereka.
“Minta mereka dijauhkan dari bala bencana. Doakan agar yang ditimpa ujian terus tabah dan sabar sehingga datangnya kemenangan yang dinantikan,” katanya di status Facebook yang dimuatnaik pada petang Ahad.
Razali Awang Media Syria Care