BANTUAN DALAM BENTUK KAD DEBIT

WhatsApp Image 2018-03-27 at 13.14.27

Skim bantuan tunai Kesatuan Eropah (EU) telah membantu Turki mengguruskan berjuta pelarian Syria di negara itu.

Dalam tempoh sembilan bulan sejak diperkenalkan pada Disember 2016, projek yang menyalurkan bantuan dalam bentuk kad debit yang dikenali sebagai Kizilay telah memberi manfaat kepada lebih sejuta pelarian Syria.

Di bawah skim itu, setiap individu yang layak akan menerima TL120 sebulan.

Manakala untuk setiap keluarga yang terdiri daripada empat orang mereka akan mendapat bantuan TL720 sebulan.

Kad berkenaan boleh digunakan sama ada untuk menggeluarkan wang di bank dan juga di pasaraya.

“Ia menampung 75 peratus keperluan kami tetapi perlukan seseorang dalam keluarga untuk bekerja bagi menampung baki,” kata Huda yang berasal dari Aleppo kepada The Guardian.

Katanya lagi, suaminya memperolehi pendapatan dengan mengumpul barangan kitar semula manakala anaknya yang berusia 11 tahun bekerja di sebuah kilang di sebelah pagi dan akan ke sekolah di waktu petang.

“Saya ingin dia (anak) berhenti kerja kerana sekarang terdapat duit masuk.

“Hidup kami bertambah baik sekarang kerana tidak perlu meminjam wang dan tidak lagi risau orang datang ketuk pintu rumah untuk meminta sewa,” katanya yang sekarang menetap di Gazientep.

Di bawah skim yang dikenali sebagai Rangkaian Kecemasan Keselamatan Sosial (ESSN), iaitu salah satu daripada 58 program yang menerima suntikan tunai berjumlah €3 bilion, Turki akan menutup sempadannya bagi menghalang penghijrahan dan pada masa sama membantu pelarian yang ada dalam wilayahnya.

Menurut Program Makanan Sedunia (WFP), ia telah melaksana ESSN dalam empat cara perkongsian dengan Suruhanjaya Eropah (EC), Palang Merah Turki dan juga kerajaan.

“Terdapat metos apabila bantuan kemanusiaan beralih ke dalam bentuk tunai semua akan dibelanja untuk rokok dan minuman keras.

“Tetapi majoriti daripada mereka amat bertanggungjawab. Mereka tidak habiskan wang dengan membeli barangan mewah dan membiarkan anak kelaparan, ” kata Pengarah WFP bagi Turki, Jonathan Campbell.

Razali Awang
Media Syria Care

Kongsi Artikel Ini