Panasnya mencecah 40 selsius, ditambah pula dengan keadaan yang kering serta berhabuk, ia benar-benar menguji kami. Untungnya di Syria ini kelembapannya rendah, kalau tidak pasti badan melekit-lekit.
Begitupun ada kalanya, hidung ini terbersin juga dengan “bau-bauan di sekeliling.
Bak kata aku kepada wartawan Utusan Malaysia, Aznan Bakar di hari keempat ketika kami di sana.
“Nan aku tak tahu mana bau badan aku, mana bau kambing,” usik aku ketika bergambar dengan kambing yang hendak dikorban di sebuah rumah sembelihan di Atma pada hari ketiga Aidiladha.
Bayangkan, itu kami yang baru dua tiga hari sampai. Bagaimana dengan pelarian yang terpaksa melaluinya hari-hari. Bukan setahun dua mereka menempuh segala bentuk kesukaran. Dari fizikal sehingga ke emosi.
Hakikatnya, keselesasaan sering melekakan kita sehingga mengabaikan tanggungjawab sesama manusia.
Tidak ramai orang yang sanggup mengorbankan nikmat duniawi dan berada ribuan kilometer dari tanah air sendiri semata-mata untuk berbakti kepada mereka yang malang dan memerlukan bantuan.
Itu yang dilakukan Kak Ameenah dan keluarganya. Di celah-celah jutaan pelarian di Idlib, dia menjadi warga Malaysia yang menyumbang bakti di sini.
Aku sangat mengkagumi wanita ini dengan kerja-kerja kemanusiaan yang dilakukannya dan sebab itu ia dimasukkan dalam agenda Misi Kemanusiaan Syria Care 10.0.
Pengorbanan ibu yang berusia 50 an ini meletakkan dirinya pada kedudukan yang hebat. Namanya mungkin tidak begitu dikenali di tanah air, namun pengorbanan yang dilakukan menaikkan nama Malaysia dalam kalangan pelarian di sini.
Sepatutnya di hari petang hari pertama (Hari Raya Aidiladha) bertandang ke rumah Kak Ameenah tetapi dek agenda yang padat termasuk melawat dua kandang lembu yang diatur Abu Syaaban serta minum kopi di Aqrabat, ia tertunda ke keesokan hari.
Tepat jam 9 pagi di hari raya kedua, anak Kak Ameenah, Amir Fukhairah datang menjemput.
Tidak disangka, kunjungan kami dirai dengan hidangan nasi lemak lengkap dengan sambal bilis dan telur mata. Sambal Che Nor pun ada!
Ingin tahu kisah di sebalik sambal bilis ini? Nantikan sambungannya..
Razali Awang
Media Syria Care