Atma dan Aku (Bahagian 5)

1.5

Bangga dan teruja melihat tulisan di papan tanda dalam Bahasa Melayu di bumi Syam. Di penghujung kirinya, diletakkan bendera Jalur Gemilang dan di sebelah kanan, terpampang logo Syria Care manakala di bawahnya tertera, Sekolah Ulfah, Peringkat Rendah, Atma, Syria.

Aku terus mendongak macam kena pukau sehingga ditegur supaya segera memasuki bangunan kerana cuaca begitu panas untuk berdiri di luar.

Mahukan tidak, segala yang terpampang di papan tanda itu menyuntik segala macam emosi.

“Lihatlah rakyat Malaysia, para penyumbang semua betapa nama kita dimulia, disanjung di sini. Siang dan malam mereka berhenti-henti mendoakan untuk kita”, kataku berkali-kali dalam hati.

Memasuki bangunan dua tingkat, terasa nyaman dan tanpa berlenggah panjang kami diminta duduk untuk dijamu. Makanan pertama sejak awal pagi. Soal isi perut letak ke tepi kerana tugasan misi ini lebih utama.

Jika P. Ramlee menggunakan kata-kata “mati dalam iman” dalam filem Ali Baba Bujang Lapok., di Atma aku tukar skrip dialog kepada “lapar dalam iman”.

Manakan tidak lapar. Kami tiba di pejabat Sham Sharif seawal jam dua pagi selepas penerbangan dari Ankara ke Hatay tertangguh. Dapatlah melelapkan mata seketika dan bangkit semula jam 4.30 pagi.

Semua perlu dilakukan segera kerana sembahyang sunat Aidiladha di sini dibuat sebaik masuk Syuruk.

Jadinya, sebaik terbit fajar kami bergerak ke rumah anak yatim tajaan IHH di Reyhanli untuk memastikan tidak terlepas solat.

Alkisahnya, dari mula celik mata hingga lepasi sempadan, menziarahi White Helmets dan berada di Human Relief Centre serta kawasan sekitarnya, tiada apa yang dimakan bagi mengalas perut. Sebab itu bila melihat apa yang dihidang, semuanya sedap di mata.

Itu kami yang diuji tidak cukup tidur dan baru tak sampai sepuluh jam tidak menikmati makanan. Bagaimana dengan pelarian yang hari-hari terpaksa melalui ini semua sejak lebih lapan tahun lalu?. Bersyukurlah.

Di hari pertama bersua sejak dari Bab al Hawa, Abu Syaabanlah kepala. Segala susun atur makanan, minuman dan kelebihan yang Allah kurniakan kepadanya, pandanglah dalam apa juga keadaan, dia akan tetap tersenyum.

Selepas majlis meraikan pelajar Sekolah Ulfah, Abu Syaaban bersungguh-sungguh menjelaskan sesuatu dengan gulungan pelan yang sentiasa dikepitnya.

Apabila aku faham tidak faham dengan apa yang cuba dia sampaikan, dipimpin tangan dan dibawa ke kandang lembu dan reban ayam.

“Ooo…faham Pak Syaaban”, kata aku dalam bahasa Melayu.

Kata warga emas ini, dia bersama mereka yang lain di Sekolah Ulfah melakukan macam-macam untuk mengurangkan kebergantungan sepenuhnya daripada penaja luar. Mereka cuba berdikari dan “tour” di kandang lembu untuk menunjukkan sebahagian ikhtiar yang dilakukan.

Ceritanya, bermula dari dua ekor lembu kini ia berkembang biak sehingga berbelas ekor dan hasil tenusunya dibekalkan kepada pelajar Sekolah Ulfah manakala bakinya dijual kepada penduduk setempat.

Tetapi ia jauh dari mencukupi bagi menampung keperluan 200 pelajar lelaki di sini. Mereka masih memerlukan bantuan berterusan dari luar.

Kini hasil sumbangan rakyat Malaysia berjaya merealisasi sebuah bangunan yang menempatkan sekolah lelaki.

Namun ada lagi projek baru yang dirancang iaitu pembinaan sekolah untuk perempuan, bersebelahan dengan bangunan sedia ada.

Kini aku faham, kenapa Abu Syaaban tidak lekang dengan pelan bangunan yang dibawa. Dia amat berharap daripada kita semua rakyat Malaysia untuk membantu pelarian Syria di Atma mendapat pendidikan, tidak buta huruf dan mampu berdikari di kemudian hari.

Impian itu kini sedang digerakkan Syria Care melalui kempen Infaq RM50.

Sehingga 19 Ogos 2019, ia berjaya mengumpul RM25,805.27. Sebanyak RM312,931.73 diperlukan lagi bagi memastikan projek ini menjadi kenyataan.

Ketika menerima mesej Ustazah Siti Sakinah mengenai kemaskini kutipan terkini, fikiran merewang teringat dendangan indah bacaan surah Al Rahman oleh salah seorang pelajar Maahad Ulfah pada majlis meraikan kami sebaik tiba di situ pada hari pertama Aidiladha.

Apa yang dilagukan membuatkan aku sebak kerana ia menyampaikan isi hati sebenar mereka. Bacaan daripada seorang kanak-kanak yang suci dari dosa.

Semoga bacaan ayat-ayat suci sebegitu tidak terhenti, teruskan menyumbang untuk membantu merealisasi impian ini.

Jika Allah menguji mereka dengan bencana kita pula diujiNya dengan nikmat.

Razali Awang
Konsulatan Media Syria Care
Atma,Syria
11 Ogos 2019

#misikemanusiaansyriacare10
#Qurban4Syria
#travelog
#syriacareforhumanity

Kongsi Artikel Ini