Syria Care di dalam Syria.
Pada 31 Oktober 2017 petugas Misi Kemanusiaan Syria Care 5.0 telah diberi peluang untuk memasuki bumi Syria dengan diiringi oleh dua orang mufti dari pejabat Mufti Killis.
Cuaca dingin menyelubungi setiap anggota team. Kereta dipandu melalui kawasan khemah-khemah yang dibina di sepanjang perbatasan Syria Turki ini. Mata kami hanya dihiasi dengan pemandangan yang amat menyedihkan.
Satu persatu rumah yang ada di hadapan mata telah dimusnahkan oleh pihak Daesh. Yang ada hanyalah sisa-sisa bangunan yang ditinggalkan. Begitu juga dengan deretan khemah sama ada penempatan rasmi ataupun tidak rasmi ia hanya dibangunkan di atas padang tanah pertanian.
Keadaan sekelilingnya sangat kotor akibat tidak dijaga. Tanah yang penuh debu. Jalannya pecah sana sini. Kelihatan juga kedai-kedai kecil di kiri dan kanan jalan yang didirikan demi meneruskan kehidupan mereka walaupun penuh dengan kesulitan.
Bertambah sedih apabila tiba waktu malam. kami diuji dengan angin yang sangat kuat dan suhu sejuk sehingga terasa sehingga ke tulang-belulang. Padahal ketika itu, belum pun masuk musim sejuk yang sebenarnya.. Terus kami terfikir, bagaimana mereka dapat tempuhi musim sejuk seperti ini berbulan-bulan dengan hanya berteduh di dalam khemah sahaja?
Kebetulan pula sebelum itu, hujan turun membasahi bumi Syria. Suhu bertambah sejuk. Tanahnya pula berlecah akibat hujan. Baju semua petugas turut dipenuhi dengan kotoran tanah dan basah disimbah air hujan.
Namun pengalaman ini tidak mungkin dilupakan. Kami mungkin boleh masuk dan keluar dari bumi Syria dan pulang ke Malaysia, maka berakhirlah episod sejuk membeku ini. Bagaimana pula dengan rakyatnya? Anak-anak kecil yang masih berada di dalam sana? Kesejukan ini mereka terpaksa lalui sehingga ke hujungnya malah dugaan bom dan kelaparan juga turut menghantui kehidupan seharian mereka..
Catatan perjalanan,
Ustazah Sakinah Omar
Misi Kemanusiaan Syria Care 5.0
Syria
31 Oktober 2017