Bukan kerja main-main
Menyeberangi sempadan ke bumi Syam dari Turki bukan perkara enteng seperti melepasi Sungai Golok atau Tambak Johor.
Sejak konflik di Syria bermula pada 2011 dan kemudian disusuli ancaman IS serta YPD/PKK, ia telah mengetatkan semua laluan keluar masuk khususnya bagi warga negara ketiga seperti Malaysia.
Segala urusan dokumentasi mengambil masa dan pihak berkuasa sama ada polis, tentera dan imigresen di pintu sempadan tidak mempunyai sebarang kuasa. Kebenaran hanya diberikan oleh agensi dari pentadbiran pusat di Ankara.
Segalanya diteliti satu persatu bagi memastikan ia tidak mendatangkan ancaman keselamatan .
Itu cerita di Turki, melepasi sempadannya menuju ke Syria satu lagi bab yang kalau dikesahkan amat panjang.
Setiap kali ke sana, pengalamannya tidak sama.
Kali terakhir memasuki Syria dari Kilis ke Azzaz adalah pada November 2016, ketika itu keadaannya amat tegang dengan pelbagai pos kawalan, ditambah dengan musim sejuk yang membeku, tetapi kali ini situasinya berbeza.
Kawasan yang dulunya di luar pintu Azzaz yang menempatkan penghadang amat kurang, tentera berkawalpun tidak seramai dulu. Mungkin ia hasil Olive Branch Operation yang dilancarkan pihak berkuasa Turki, awal tahun ini.
Meskipun begitu, satu perkara yang ingin diingatkan, risikonya masih ada dan tetap tinggi.
Perjalanan bersama pasukan Misi Kemanusiaan Syria Care dan wakil Pejabat Mufti Kilis, selama dua hari keluar masuk melepasi sempadan membawa cerita yang tidak sama.
Apatah lagi bagi mereka yang pertama kali berada di kawasan konflik.
Ia seperti memasuki kawasan “cowboy”. Sebaik keluar dari pintu Azzaz, keadaannya ibarat datang ke dunia lain, berhabuk, panas dan kelihatan jelas kelihatan sisa selut, kesan banjir yang melanda kawasan itu sebelum ini.
Menyelusuri lebih jauh, beberapa kesan kemusnahan jelas kelihatan. Ia menjadi tanda bahawa satu ketika dahulu kawasan berkenaan sebelum ini pernah dikuasai IS dan kemudian dihambat keluar tentera Turki dan sekutunya.
Pada hari pertama, Khamis lalu, pasukan misi sampai ke Souran, yang terletak 22 kilometer di utara Aleppo bagi melihat dapur operasi penyediaan makanan dan kemudian mengagihkan bantuan kepada pelarian Syria di kawasan sekitar.
Segala yang diatur berjalan lancar dan anggota misi berjaya melepasi pintu sempadan Azzaz-Kilis sebelum gelap.
Cabarannya bermula pada keesokan hari apabila kami bergerak ke destinasi seterusnya, Jarablus yang mana jaraknya dari Kilis sejauh 120 kilometer.
Jika di kawasan biasa, ia mengambil masa tidak sampai sejam setengah, tetapi kemusnahan akibat konflik menjadikan ia amat jauh dan mengambil masa lebih tiga jam.
Pemandu kenderaan yang memuatkan kami, amat mahir dengan selok belok laluan telah menggunakan segala kepakaran dan pengalaman yang dimilikinya untuk memastikan anggota misi sampai ke destinasi dengan selamat dalam masa yang lebih singkat.
Dari situ bermula satu babak, pengalaman merentasi jalan berlumpur, meredah ladang gandum dan menyelinap laluan sempit di kawasan rumah penduduk.
Ia perjalanan yang panjang.
Di pertengahan jalan, kami berhenti untuk solat Jumaat dan kemudian disambung semula.
Percayalah kalau tidak kerana perang, bumi Syria ini amat cantik. Muka buminya subur. Ketika melepasi beberapa kawasan seperti Al Rai, pemandangan ladang gandum, kentang dan lain-lain luas menutupi tanah. Ia sedikit sebanyak menghilangkan kepenatan puasa dan panahan cahaya matahari.
Seperti dirancang, anggota misi selamat tiba di Jarablus sekitar jam tiga petang waktu Syria.
Dari situ anggota misi meneruskan program menyediakan pek makanan yang dikendali Sham Sherif, rakan kerjasama Syria Care di sana.
Setelah segalanya selesai, anggota misi turut sama mengagihkan pek iftar, sebelum bergegas pulang ke Kilis.
Hambatan waktu menjadikan perjalanan pulang ibarat kembali ke zaman silam. Segala jalan pintas dengan lopak air dan berdebu Adakalanya, kami melantun di dalam bas kerana pemandu cuba mengejar masa untuk berbuka puasa.
Di satu kawasan sekitar 7 killometer dari sempadan, kami sampai tepat waktu azan berkumandang.
Bertempat di kem yang diselia beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya, Turkiye Diyanet Vakfi (TDV) dan Al Imdad Foundation yang berpengkalan di Britain, kami menjamah apa yang ada untuk berbuka puasa.
Dalam kawasan kem yang berpagar, ramai yang berasak-rasak untuk mengambil agihan iftar. Pek makanan berupa nasi berlauk ayam, manisan, air dan ayran (minuman dadih) diagihkan petugas. Tanggungjawab itu kemudian diambil sebahagian anggota misi termasuk Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki.
Bukan mudah berdepan dengan situasi sebegini. Ia benar-benar menguji emosi. Melihat setua-tua manusia dan semuda-muda kanak-kanak terpaksa berebut-rebut untuk mendapatkan makanan. Ada yang disiku, dipijak dan paling kesian, makanan mereka tumpah ke tanah.
Kejadian yang berlaku di depan mata itu, hanya sekelumit kisah dan gambaran sebenar apa yang pelarian Syria tempuhi.
Melihat kepayahan itu, ia membuatkan rasa penat hilang.
Kelewatan tiba di pintu sempadan menyebabkan kami kandas seketika kerana ia telah ditutup kepada orang awam pada jam 5.30 petang. Namun apalah sangat kesulitan yang kami lalui berbanding derita mereka.
Kepada penyumbang khususnya rakyat Malaysia, derma anda memberi 1001 harapan. Ia boleh boleh dibuat melalui akaun:
1. CIMB Islamic:8601894560
2. Maybank Islamic: 562106653575
3. RHB Islamic: 26225000021775
4. Affin Islamic: 105990040004
Razali Awang
Media Syria Care