Pelarian pulang tidak mampu berdikari

25.10
Pelarian Syria yang pulang ke negara asal tidak mampu berdikari dan memerlukan bantuan masyarakat antarabangsa untuk memulakan hidup baru.
Perkara berkenaan ditegaskan Pengarah Eksekutif Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WFP), David Beasley selepas meninjau sendiri situasi di dalam Syria.
 
“Luluh hati saya melihat keluarga yang pulang dengan apa yang tinggal rumah mereka-selalunya tiada tingkap atau dinding.
 
“Saya kagum dengan semangat dan azam mereka, tetapi perang selama tujuh tahun telah menyebabkan jutaan rakyat berada dalam kemelaratan melampau dan kelaparan. Mereka masih memerlukan sokongan kita dan kita akan terus membantu sehingga mereka berupaya berdikari,”katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan reliefweb.
 
Jelas beliau, mereka yang pulang memerlukan pekerjaan selain sokongan untuk memulakan hidup baru.
 
Menurutnya, ketika berada di negara yang menempatkan pelarian, WFP bertanggungjawab menyediakan bantuan makanan.
 
Manfaat itu turut dinikmati penduduk setempat di mana mereka memperolehi pendapatan tambahan melalui inisiatif pengeluaran hasil tanaman yang dilaksana agensi badan dunia itu.
 
“Kerja kami di sini adalah untuk membantu mereka mendapat makanan setiap hari dan pada masa sama melonjak ekonomi setempat,” kata Beasley.
 
Beliau berkata demikian selepas mengakhiri lawatan tiga hari Lubnan, Syria dan Jordan serta berjumpa dengan keluarga pelarian di Lembah Bekaa, Timur Ghoutah dan kem pelarian Zaatari.
 
Pada masa sekarang WFP menyediakan bantuan makanan kepada lebih 6 juta pelarian sama ada di dalam atau di luar Syria melalui program pengagihan makanan secara bulanan, baucer peralatan elektrik, program haiwan ternakan dan juga bantuan tunai.
 
Bagi menampung kelangsungan program berkenaan, ia memerlukan US$136 juta untuk tempoh enam bulan akan datang./reliefweb
 
Razali Awang
Media Syria Care

Kongsi Artikel Ini