Lebih 100 dilaporkan maut dalam tempoh sebulan di kem Rukban kerana kekurangan bantuan ubat-ubatan dan tahap kesihatan yang buruk.
Dakwaan berkenaan dibuat jurucakap Kementerian Kesihatan Rusia, Sergei Grabchak dan kemudian dipetik agensi berita TASS.
Sementara itu, wakil kementerian pertahanannya, Yuri Tarasov menuding jari kemelut yang berlaku di Rukban disebabkan Amerika Syarikat dan bukan sekatan yang dibuat sekutunya, regim Bashar al Assad.
Beliau menuduh Washington sebagai bertanggungjawab dengan bencana di kem yang menempatkan lebih 60,000 pelarian.
“ (Amerika Syarikat) bertanggungjawab penuh dengan keadaan yang melampau kerana menduduki kawasan dan menggunakan masalah kemanusiaan di kem pelarian untuk menghalalkan kehadiran tenteranya di selatan Syria ” katanya seperti yang disiar portal ANSA med.
Pada misi kemanusiaan yang diusahakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bersama Syrian Arab Red Cresent (SARC), awal bulan ini, sebanyak 78 trak yang membawa bekalan makanan dan ubat-ubatan berjaya dibawa masuk.
Ia penghantaran kali pertama sejak kepungan oleh tentera regim ke atas kem Rukban, Januari lalu dan selepas dua minggu semua laluan tikus ke situ disekat sepenuhnya.
Menurut Penyelaras PBB, Fadwa Baroud, tidak semua pelarian di kem berkenaan menerima bantuan.
“PBB menerima laporan daripada beberapa keluarga di Rukban bahawa mereka tidak menerima jumlah bantuan yang sepatutnya atau tidak menerima langsung,” katanya kepada The National.
Katanya lagi, PBB sedang memantau dengan pihak tempatan bagi memastikan semua keluarga menerima bantuan.
Mengikut jadual satu lagi penghantaran misi kemanusiaan akan dibuat pada pertengahan Disember ini.
Sementara itu dalam laporan setebal 12 halaman, Syrian Network for Human Rights (SNHR) menegaskan Jordan turut bertanggungjawab secara langsung dengan penderitaan dan kematian pelarian di kem Rukban.
Katanya, kali terakhir Amman membenarkan penghantaran dibuat melalui wilayahnya pada Januari 2018.
Sejak itu pelarian terpaksa bergantung sepenuhnya dengan bekalan makanan yang diseludup dari dalam Syria yang dibawa dengan harga tinggi dan sebahagian mereka tidak mampu untuk membelinya.
Dalam laporannya ia mendakwa pekerja bantuan di sebelah Jordan terpaksa menggunakan kren untuk mencampak bantuan bekalan makanan dari seberang sempadan negara itu selepas penghantaran melalui pintu sempadan disekat.
Laporan berkenaan menekankan kedua-duanya bertanggungjawab dengan kesengsaraan di Rukban, manakala regim Bashar al Assad menjadi pihak utama melakukan pembunuhan, pengeboman sama ada sengaja atau sebaliknya di semua kawasan yang bangkit menentang pentadbiran Damsyik.
Razali Awang
Media Syria Care