Belanda bersetuju untuk menyalurkan bantuan berjumlah €400 juta kepada negara yang menerima pelarian Syria bagi tempoh 2019-2022.
Ia diumumkan Menteri Pembangunan Kerjasama dan Perdagangan Luar Negara, Sigrid Kaag selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Kerjasama Antarabangsa dan Perancangan Jordan, Mary Kawar.
Menurut Al Bawaba News, di bawah dana yang diumumkan itu, selain Jordan dua lagi negara iaitu Turki dan Lubnan akan turut mendapat manfaat.
The Hague mencadangkan supaya dana diguna untuk menjana pembangunan ekonomi melalui sokongan dalam sektor pertanian, perniagaan, pendidikan serta latihan vokasional dan teknikal.
Kaag berkata, Belanda menghargai usaha Jordan yang sanggup menerima pelarian Syria meskipun negara itu sendiri berdepan dengan pelbagai kesukaran.
Selain bantuan kewangan, ia juga menawarkan kepakaran dalam pelbagai bidang, khususnya dalam sektor pertanian.
Dalam reaksinya, wakil Amman berkata ia akan memasukkan pelbagai keutamaan dalam sektor kerajaan bagi memaksimakan manfaatnya.
Bagaimanapun penyaluran dana yang dijanjikan itu sama sekali tidak mengubah dasar Jordan yang enggan bertolak ansur untuk menerima pelarian baru dari Syria.
Sebaliknya akan berusaha bagi memastikan mereka terus berada di dalam negara asal dan tidak memasuki wilayahnya.
Pada masa sekarang terdapat lebih sejuta pelarian Syria di Jordan dan sebahagian besar mereka berada di kem-kem pelarian di kawasan sempadan.
Razali Awang
Media Syria Care