Mangsa culik jadi perisai manusia

Untitled

Pengganas IS menjadikan 20 wanita dan 16 kanak-kanak yang diculik pada 25 Julai lalu sebagai perisai manusia bagi menghalang serangan berterusan tentera regim Bashar al Assad ke atas saki baki kedudukannya di Swaida.

Mesej itu disampaikan melalui rakaman video melalui aplikasi WhatsApp pada Sabtu lalu.

Dalam rakaman berkenaan, seorang wanita tampil sambil menyampaikan mesej bahawa dia dan mereka yang lain akan dibebaskan sekiranya anggota IS yang ditahan tentera regim Bashar al Assad, dilepaskan.

Bagaimanapun, sekiranya serangan ke atas kedudukan kumpulan itu berterusan, mereka semua akan dibunuh.

Sehingga semalam, regim Bashar al Assad dilapor meningkatkan serangan udara ke atas kedudukan kumpulan berkenaan di bahagian utara dan timur Swaida.

Ia mensasarkan kawasan padang pasir sekitar Kara’a yang masih menjadi kubu kuat IS.

Sementara itu, mengulas perkara berkenaan, laman sesawang Suwayda24 dan Syrian Observatory for Human Rights (SOHR) berkata, pihaknya sedang melakukan rundingan untuk membebaskan mangsa.

Setakat ini, empat daripada yang ditahan berjaya menyelamatkan diri dan dua lagi disahkan mati.

Seorang ditembak di kepala manakala seorang lagi wanita tua, yang dipercayai meninggal dunia akibat kehausan.

Kesemua mangsa diculik ketika IS melakukan serang hendap di kampung Al Shoubki pada 25 Julai lalu, hari sama ia melancarkan siri serangan nekad yang membunuh lebih 220 jiwa di wilayah itu.

Razali Awang
Media Syria Care

Kongsi Artikel Ini