Jaish al Islam yang masih menguasai Douma di Timur Ghoutah, menyangkal laporan media regim Bashar al Assad bahawa pihaknya bersetuju untuk meletak senjata dan keluar dari bandar itu.
Berita yang sama turut disebarkan media pro Hezbollah bahawa persefahaman telah dicapai dan kumpulan berkenaan akan dipindahkan ke Jarablus.
Dalam kenyataannya kepada agensi berita AFP, Iyad Abdelaziz, salah seorang Ahli Majlis Tempatan Douma, menegaskan tiada persetujuan diperoleh berhubung perkara berkenaan.
Jelasnya, apa yang dipersetujui adalah yang membabitkan kes-kes “kemanusiaan” iaitu membenarkan mereka yang cedera ke Idlib, yang dijadual bermula Isnin.
Kenyataan itu selari dengan pendirian jurucakap Jaish al Islam, Hamzah Berakdar pada Sabtu yang menyifatkan syarat yang dikenakan sebagai pengusiran secara paksaan.
“Pendirian kami adalah tetap dan jelas. Kami menolak untuk ditempatkan secara paksaan dan merubah demografik di Timur Ghoutah,” katanya kepada Al Jazeera.
Kenyataan itu dibuat di hari sama Bashar al Assad mengumumkan kemenangan memerangi kumpulan anti kerajaan di Timur Ghoutah.