Syarikat pembekal askar upahan Rusia mengaut keuntungan dengan konflik yang berlaku di Syria.
Ketika korban perang saudara yang mencecah setengah juta orang sejak tujuh tahun lalu, ia sedikitpun tidak menjejaskan permintaan dan minat rakyat negara itu untuk berkhidmat sebagai “pembunuh”.
Dalam laporan yang disediakan France 24, ia mendedahkan ada sahaja individu yang menawarkan diri untuk menjadi askar upahan.
” Sekiranya kamu tinggal berhampiran Yekaterinburg, Rusia dan ingin berjuang dengan askar pro-regim di Syria, ada seorang lelaki yang kami boleh bercakap. Dia adalah ketua pasukan separa tentera yang memberi penasihat kepada rakyat Rusia yang ingin bekerja untuk Wagner (syarikat kontraktor ketenteraan swasta milik Kremlin) yang diketahui menghantar askar upahan ke Syria”, kata agensi berita itu dari sumber yang dirahsiakan identitinya.
Berdasarkan maklumat yang diperolehi, lelaki berkenaan mendedahkan setiap minggu dia menerima lima hingga enam permintaan untuk menjadi askar upahan di Syria.
Tambahnya lagi, terdapat beratus orang di kawasan itu yang merancang untuk ke sana susulan kenyataan Kementerian Luar Rusia yang memaklumkan lima warganya maut selepas dibom pesawat Amerika Syarikat berhampiran Deir Ezzor pada 7 Februari lalu.
“Sekarang ini ia lebih kepada balas dendam berbanding wang,” katanya.
Malangnya, menurut lelaki itu mereka yang ingin menuntut bela sebenarnya tidak tahu cerita sebenar.
“Bukan lima rakyat Rusia yang maut dalam serangan. Ia 218 nyawa,” katanya.
Setakat ini 150 mayat telah dijumpai dan ia mengambil masa untuk dikenalpasti kerana keadaan jasadnya yang berkecai selepas terkena bom dan kini ditempatkan di bilik sejuk beku Wagner di Rusia.
Dia bagaimanapun tidak bersimpati dengan mereka yang terbunuh dalam serangan itu.
“Sekiranya kamu turunkan tanda tangan dengan syarikat ketenteraan swasta, kamu telah menjual diri kepada mereka kerana wang. Syarikat boleh gunakan kamu ikut suka. Apa yang berlaku selepas kamu mati? Jika kamu bertukar jadi cebisan daging, apa jadi? Mereka letakkan kamu dalam plastik beg, tutup dengan keranda dan paling baikpun hantar balik ke rumah. Paling teruk tanam sahaja di sana. Jika kamu bersedia cari wang dengan membunuh orang dan melindungi kepentingan komersil orang lain, teruskan,” katanya.
Berdasarkan temu ramah rahsianya dengan agensi berita Perancis itu, dia juga memaklumkan keluarga mangsa masih tidak tahu nasib yang menimpa anggota keluarga mereka meskipun insiden berkenaan berlaku lebih dua minggu lalu.
Katanya, ia tidak akan didedahkan sehinggalah Pilihanraya Presiden Rusia selesai 18 Mac ini.
Menurut sumber itu lagi, syarikat swasta terbabit campur tangan bila kerajaan Rusia perlukan penafian.
“Apa tujuan utama syarikat ketenteraan swasta? melindungi kepentingan kerajaan kerana tentera biasa tidak boleh digunakan,”katanya.
Selain mengaut keuntungan di Syria, Wagner juga menghantar askar upahannya berperang di wilayah Donbas di Ukraine.
“Matlamat utama ialah pulangan kewangan dan kemungkinan mengawal pasaran besar sumber minyak, jadi negara kita boleh menguasainya, ” jelas lelaki itu./France 24