Gencatan senjata lima jam yang dicadangkan Presiden Rusia, Vladimir tidak membawa sebarang makna apabila kumpulan bersenjata pro regim Bashar al Assad mencabulinya dengan melancarkan serangan ke atas Douma, Harasta, Jisreen dan Housh al-Dawahra.
Menurut Middle East Eye, gencatan senjata itu hanya mampu bertahan setengah jam.
Mengulas mengenainya, Syrian Observatory for Human Rights (SOHR) melaporkan sekurang-kurangnya dua serangan udara telah dibuat ke atas dua bandar.
Manakala sumber yang lain melaporkan serangan yang sama juga telah dilancarkan di bandar Hasa.
Ia bagaimanapun dinafi tentera kerajaan.
Dalam serangan berkenaan, ia mengorbankan sekurang-kurangnya lima nyawa termasuk wanita dan kanak-kanak.
Sebelum ini, Putin membuat kenyataan gencatan senjata selama lima jam sehari selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi meminta regim Bashar dan sekutunya menghentikan serangan selama 30 hari.
Moscow yang membuat keputusan tanpa restu badan dunia itu, menegaskan ia bagi membolehkan orang awam yang terkepung dibawa keluar ke kawasan lain dan pada masa sama operasi menggempur kedudukan kumpulan penentang diteruskan.
Mengulas mengenainya, jurucakap PBB berkata, pertempuran yang berterusan menyebabkan usaha untuk membawa bantuan atau mengeluarkan mereka yang tercedera tidak dapat dilaksana.
“Pertempuran bersambung pagi ini. Itu laporan dari Timur Ghoutah yang memaklumkan kami,”kata jurucakap kemanusiaan PBB di Geneva.
Jelasnya lagi keadaan itu menyebabkan terlalu awal bagi pihaknya untuk membincangkan kerja-kerja menyelamat ke atas orang awam.