Seorang bayi berusia enam bulan yang terkepung di Timur Ghoutah meninggal dunia sebelum sempat dibawa untuk mendapat rawatan lanjut di Damsyik.
Kematian Katr al Nada yang berada dalam senarai teratas 29 mangsa untuk mendapatkan rawatan disedari selepas sukarelawan tiba di kediamannya.
Menurut Syrian American Medical Society (SAMS), ketika pasukannya sampai, mangsa telahpun meninggal dunia.
“Katr al Nada, bayi berusia enam bulan yang berada dalam 29 senarai penting sepatutnya dipindahkan hari ini. Bila pasukan tempatan tiba, mereka mendapati dia telah mati seminggu lalu ,” tulis petugas SAMS, Mohamad Katoub di Twitternya dan kemudian dipetik akhbar atas talian Independent UK.
Mengikut perancangan, Katr bersama empat lagi yang lain telah diberi kebenaran untuk mendapatkan rawatan di Damsyik dalam operasi yang bermula awal pagi Rabu.
Di bawah persetujuan yang dicapai selepas perbincangan yang mengambil masa berbulan-bulan, 29 pesakit kritikal di Timur Ghoutah yang sedang dikepung tentera regim Presiden Bashar al Assad dibenarkan mendapat rawatan di Damsyik.
18 daripada mangsa membabitkan kanak-kanak yang sakit teruk dan berada dalam keadaan kritikal.
Mereka dibenar melepasi kepungan selepas pertukaran dengan 29 askar tentera regim yang ditahan kumpulan penentang Jaish al Islam dibuat.
Menurut SAMS, usaha untuk membawa keluar saki baki 24 pesakit dijangka akan selesai dalam tempoh beberapa hari.
Sebelum ini dalam kenyataannya Ketua Kumpulan Petugas Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Syria, Jan Egeland, berkata 494 orang berada dalam senarai teratas untuk dibawa keluar bagi mendapat rawatan.
Kebanyakan mereka menghidap penyakit jantung, kanser, masalah buah pinggang dan penyakit berkaitan darah serta pesakit kritikal yang memerlukan pembedahan.