30,000 JADI PELARIAN SEHARI-UNHCR

Refugees Of History
Dianggarkan hampir 30,000 penduduk menjadi pelarian setiap hari di Syria, Iraq dan Yemen.
 
Menurut laporan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), Syria menduduki tangga teratas di mana 6 juta menjadi pelarian dalam negara manakala 5.4 juta lagi bergelandangan di negara jiran, sejak perang saudara tercetus pada Mac 2011.
 
Keadaan itu menjadikan Turki satu-satunya negara di dunia yang menempatkan paling ramai pelarian dalam wilayahnya, dengan jumlah lebih 4 juta orang.
 
Jordan turut menampung pelarian Syria dalam angka yang besar dengan lebih setengah juta orang. Bagaimanapun angka sebenar dipercayai lebih dari itu.
 
Berada pada senarai kedua Iraq, dengan jumlah rakyatnya menjadi pelarian sejak 2014 melebihi 3 juta orang.
 
Menurut laporan yang dipetik TRT World, 1.3 juta berada di kem pelarian manakala 260,000 lagi terpaksa menyelamatkan diri ke negara lain.
 
Meskipun Baghdad mengisytiharkan telah mencapai kemenangan menghapuskan ancaman IS pada awal bulan ini, namun ia tidak banyak mengubah nasib pelarian yang berada di kem-kem sementara di negara itu.
 
Sementara itu keadaan yang semakin meruncing di Yemen dijangka akan menyebabkan lebih ramai penduduk negara di penghujung Semenanjung Arab mencari perlindungan ke kawasan selamat.
 
Konflik yang berlaku menyebabkan lebih 22 juta penduduknya terperangkap dan memerlukan bantuan dengan segara.
 
UNHCR dalam laporannya menyifatkan ia krisis kemanusiaan terbesar di abad ini di mana lebih 22 juta orang terjejas tetapi keadaan yang berlaku dipandang sepi oleh masyarakat antarabangsa.
 
Daripada jumlah berkenaan, 7 juta berada dalam keadaan kebuluran kerana tidak mempunyai makanan mencukupi dan 700,000 lagi telah dijangkiti taun.
 
 

Kongsi Artikel Ini