Kami tiba di Hamad International Airport sekitar jam 6.30 pagi. Masih ada masa untuk bersarapan. Lagipun pihak Qatar Airways ada memberi kupon makan untuk kami, jadi tak perlulah kami berbelanja. Rugilah kalau tak guna kan?
Setelah selesai makan, saya mengadakan briefing untuk tim. Dari semalam saya dah berhubung dengan petugas di Syria. Program kami lari dari jadual di atas lewatan yang berlaku, tetapi semua telah disusun semula dan hanya menunggu kami tiba.
Alhamdulillah hari ini walaupun cuaca dingin tetapi langit cerah. Kami bergerak ke kapalterbang bersama penumpang lain. Sama seperti semalam, kapal terbang kami jauh dan kami menaiki bas selama lebih kurang 10 minit. Dan sama seperti semalam, saya bersama geng tak panjat tangga, naik ke kapal terbang dengan forklift (saya tak pasti namanya). Orang-orang sama. Ada di antara mereka yang keluar dari airport seperti kami dan ada yang kekal di dalam airport.
Setelah semua duduk di tempat masing-masing, kapal terbang pun berlepas. Dalam tenang, saya masih terus mendoakan perjalanan kami selamat. Kami ada tugas yang perlu disempurnakan dalam tempoh masa tertentu.
Syukur kapal terbang mendarat tanpa halangan. Kali ini saya bertekad untuk turun tangga sendiri kerana dah tak sabar untuk pijak kaki di bumi Syam yang diberkati. Dengan perlahan dan hati-hati saya mengatur langkah. Suhu ketika itu 4 darjah Celcius namun langit cerah.
Suasana di airport sudah sedikit berbeza daripada kali terakhir saya di sini setahun yang lalu. “Dah ada sedikit perbezaan” saya berkata kepada ahli misi. Setelah melalui imigresen dan sedikit soal jawab, kami keluar untuk mengambil beg.
Seorang petugas airport menyekat saya lalu minta nak tengok passport.
“Dari Malaysia?”
“Ya” saya jawab dengan bangga.
“Mana visa?” dia bertanya sambil membelek pasport kami.
“Rakyat Malaysia tidak memerlukan visa untuk masuk Syria!” saya jawwab lancar.
“Oh ya! Nampaknya awak lebih tahu daripada saya,” dia berkata sambil tersenyum.
“Selamat datang ke Syria!”
“Terima kasih” saya jawab sambil berlalu.
Lapangan terbang Damsyik baru dibuka setahun lepas selepas mereka bebas daripada cengkaman Bashar jadi banyak sistem masih perlu diperbaiki. Lama juga kami menunggu beg untuk keluar. Ada beg yang dah 4 kali pusing sedangkan beg kami tak keluar-keluar lagi. Internet pun sangat limited tapi sempatlah kami memaklumkan petugas kami yang sedang menunggu di luar.
Ketika berjalan menuju kawan-kawan yang sedang menunggu, kami sempat menjadi saksi bagaimana ada ahli keluarga yang baru pulang ke Syria setelah begitu lama terpisah akibat peperangan bertemu semula dengan keluarga mereka. Ada yang sehingga 14 tahun lamanya. Momen itu cukup syahdu walaupun pada kami yang tiada kaitan kekeluargaan dengan mereka. Sedih, gembira bercampur baur dengan kesyukuran yang berpanjangan. Indah.
Kami juga bersyukur akhirnya sampai ke bumi barakah ini. Bumi yang telah menjadi saksi berbagai peristiwa suka duka.
Kami bergegas ke kenderaan yang telah lama menunggu. Memasukkan barang dan terus bergegas ke kawasan agihan. Belum sempat check-in dan meletakkan barang di tempat penginapan.
“Orang ramai sudah menunggu. Kita harus segera ke sana,” Dr. Husam, Pengerusi Syria Care Syria berkata kepada saya. Saya angguk dan akur dan memaklumkan kepada tim. Mereka juga telah faham bahawa tugas dan amanah sentiasa akan didahului.
Bismillah.
Siti Sakinah binti Meor Omar Baki,
Pengerusi Syria Care,
Ketua Misi Kemanusiaan Syria Care 20.0
Damsyik, Syria
23 Januari 2026
: Maybank – 5505 1424 0118
www.syriacare.org.my/AmalAid
#travelogmisikemanusiaansyriacare20 #iamahumanitarianworker #misikemanusiaansyriacare


