Permulaan Yang Mencabar (Bahagian Dua)

668722711 10241384193884868 4154020989281691109 n

667118728 10241385605840166 777636748913935710 n

Setelah selesai makan yang ditanggung sepenuhnya oleh Qatar Airways, saya bertanya kepada petugas yang berada di situ di mana kedudukan musalla dan sempat ke tidak kalau saya salat Zohor? Mereka pun menunjuk arah musalla dan kata sempat. Saya pun terus terlintas dalam hati, lambat lagi lah jawabnya ni. Kami masih tidak menerima maklumat susulan tentang apa yang akan berlaku. Para penumpang pun duduk berkelompok dengan kawan-kawan dan keluarga masing-masing dan tiada seorang pun yang bangun mewakili penumpang yang lain untuk berurusan dengan pihak penerbangan. Masing-masing dengan hal sendiri. Setelah solat, saya baring sebentar untuk merehatkan badan yang kepenatan bukan sahaja kerana perjalanan yang panjang, tetapi juga kerana keletihan sebelum bertolak kerana kami tetap ke pejabat seperti biasa dan cuma pulang jam 4 petang untuk lengkapkan persiapan barang. Keluar rumah jam 8 malam, sedangkan flight jam 02:40 pagi. Setelah itu, saya bergabung semula dengan tim. Pada ketika itu ramai penumpang lain sudah tiada, bila kami tanya mereka memaklumkan kami perlu ke gate semula. Tapi nak jalan ke sana, bukan dekat. Lalu sekali lagi saya berkumpul dengan makcik-makcik geng kerusi roda untuk dibawa ke gate. Namun, bila sampai di sana dan berjumpa semula dengan tim, kami diminta ke kawasan pertukaran terminal. Setelah memasuki terminal Arrival semula, kami dimaklumkan bahawa kami ada dua pilihan, sama ada menaiki penerbangan ke Beirut, Lubnan atau menunggu flight lain keesokan harinya. Kami pun berbincang dan bersetuju bahawa jalan yang terbaik adalah menunggu flight keesokan harinya. Kerana jika ke Beirut, perjalanan kami akan lebih panjang untuk masuk ke Damsyik melalui jalan darat pula. Lalu timbul persoalan kedua. Nak keluar dari airport atau tinggal dalam airport? Nak lepak kat mana? Surau ke atau sewa capsule hotel?

Syukur, line internet di airport sangat baik, dan saya teringat kawan lama yang menetap di Doha. Saya mencuba nasib menghubunginya dan tidak lama selepas itu, Puan Afzana Anum sudah menunggu di depan kawasan Arrival airport. Kereta dia pun lapang dan cukup memuatkan kami berlima. Waktu itu jam sudah pukul 4 petang. Kepenatan memang jelas di wajah semua orang, khususnya saya selaku peserta misi yang paling veteran.

Puan Anum memandu keluar dari kawasan airport dengan tenang. Dia dan keluarga dah menetap di sana lebih 17 tahun dan dia mahir tentang jalan dan budaya orang sana.

Walaupun terasa lega bertemu orang yang kita kenal di negara asing dan ketika berhadapan dengan ujian, dalam kepala macam-macam difikirkan tentang perancangan hari itu yang terpaksa dibatalkan kerana mengikut jadual kami patut tiba jam 1 di Damsyik hari itu.

Tapi begitulah adat dalam permusafiran misi atau dalam urusan seharian. “Expect the unexpected”. Perancangan Allah itu mengatasi segala perancangan. Kita hanya perlu bersabar dan menerima taqdir walaupun kita rasa ia tidak berpihak kepada kita.
Anum membelok ke arah Souq Wakrah. Terletak betul-betul di Pantai Al Wakrah, souq ini menggabungkan ciri-ciri seni bina tradisional dan elemen warisan, dan termasuk kedua-dua rumah lama dan ruang komersial. Siapa sangka perjalanan kami ke sini.

Perut dah mula keroncong sementara cuaca semakin dingin. Kami singgah solat dahulu seterusnya mengikut Puan Anum ke kawasan kedai-kedai makan.

Bersambung.

Siti Sakinah binti Meor Omar Baki,
Pengerusi Syria Care.

Tabung Kemanusiaan Syria Care: Maybank – 5505 1424 0118
www.syriacare.org.my/AmalAid

#travelogmisikemanusiaansyriacare20 #misikemanusiaansyriacare #Iamahumanitarianworker

Kongsi Artikel Ini