Penerbangan kami dari Kuala Lumpur dijadualkan bertolak pada jam 02:40 pagi 22 Januari 2026. Bermakna paling lambat kami perlu berada di KLIA jam 10 malam pada 21 Januari.
Tapi suami nak keluar lepas Maghrib untuk kami makan malam dahulu. Lalu berkalutlah saya mengemas barang.Perkara yang paling saya tak suka bila nak travel sebab asyik tak tahu apa nak bawa walaupun dah banyak kali travel. Ya, itu hakikatnya.
Sebelum sampai Damsyik, akan transit dahulu di Doha. Alhamdulillah, penerbangan kami tiba jam 05:15 seperti dijadualkan. Setelah bertukar terminal, kami solat dan mencari ruang untuk berehat sebelum penerbangan seterusnya. Gate untuk penerbangan tersebut punyalah jauh di hujung dunia, mujurlah disediakan keretapi. Satu perkara yang sangat menggembirakan orang yang sakit kaki macam saya. Itu pun selepas turun, kena jalan lagi. Dan bila sampai di gate, kami pun menunggu untuk dipanggil boarding.
Kelihatan ramai rakyat Syria yang lain bersama kami. Ada yang transit dari Amerika menziarahi anak, ada yang dari Türkiye. Semua kelihatan teruja. Cuaca di luar agak dingin dan masing-masing sudah bersedia dengan baju tebal masing-masing.
Tiba masanya, kami pun dibawa dengan bas ke kapal terbang. Subhanallah, besar sungguh Hamad International Airport ni kerana nak sampai ke kapal terbang pun dekat 10 minit.
Bila bas berhenti, ramai berebut turun. Saya, 4 wanita dan seorang lelaki yang cedera kakinya lagi terdiam menunggu sambil memandang satu sama lain. Bagaimana saya nak panjat tangga dengan beg ni sekali? Kaki saya memang tak mengizinkan.
Rupanya ada beberapa orang lain seperti saya. kami pun dibawa ke bahagian belakang kapalterbang dan naik seperti lift untuk ke pintu kapalterbang. Tetapi sebaik sahaja pintu dibuka, ia terus ditutup. Kami terpinga-pinga bertanya kenapa?
“Flight cancelled”. Begitu sahaja jawapan yang kami terima.
Kami tertanya-tanya sebab pembatalan. Tapi tiada jawapan. Terus kami semua dibawa ke terminal, meninggalkan penumpang yang lain. Dalam keadaan penuh tandatanya, kami menunggu penumpang lain termasuk ahli misi yang lain sampai.
Setelah penumpang lain tiba, baru kami dapat jawapan. “Kabus tebal di Damsyik, maka kapal terbang tidak dibenarkan mendarat. Kita akan menunggu sejam lagi; jika keadaan mengizinkan, kita akan terbang.” Pegawai Qatar Airways memaklumkan semua penumpang.
Kedaan agak kecoh pada ketika itu. Ada di antara mereka yang sudah ada jadual kerja yang perlu disempurnakan. Sama seperti kami. Lalu terus kami maklumkan kepada petugas kami di Syria akan situasi semasa. Namun, selepas sejam dan belum ada kepastian, kesemua penumpang dibawa ke ruang makan untuk makan. Waktu itu sudah hampir jam 11 pagi.
Bersambung.
Siti Sakinah binti Meor Omar Baki,
Pengerusi Syria Care.
: Maybank – 5505 1424 0118
www.syriacare.org.my/AmalAid
#travelogmisikemanusiaansyriacare20 #misikemanusiaansyriacare #Iamahumanitarianworker


