500 PESAKIT KANSER PARAH

0809caption2
Usaha Palang Merah Antarabangsa dan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk membawa pesakit kronik keluar dari Timur Ghoutah mendapat rawatan di luar mustahil dilakukan kerana tiada petanda ia akan diberi kebenaran oleh regim Bashar dan sekutunya.
 
Menurut Syrian Observatory for Human Rights (SOHR), setiap kali kenderaan agensi berkenaan menghampiri kawasan itu, mereka tidak dipedulikan.
 
Katanya, terdapat 720 kes termasuk 10 kanak-kanak dan wanita yang memerlukan rawatan segera.
 
Jumlah itu juga termasuk lebih 500 pesakit kanser yang terpaksa menyerah kepada nasib selepas bekalan ubat-ubatan di kawasan itu hampir terputus berikutan kepungan tentera regim Bashar al Assad dan sekutunya ke atas kawasan berkenaan.
 
Serangan tanpa henti juga menyebabkan kemudahan rawatan perubatan mengalami kerosakan teruk sehingga gagal berfungsi.
 
Menurut SOHR Syrian Observatory for Human Rights, keadaan kesihatan pesakit di kawasan berkenaan semakin kritikal dengan penambahan pelbagai kes pesakit yang memerlukan rawatan segera.
 
Katanya, jumlah itu meliputi 30 kes jangkitan batuk kering serta 25 kes kegagalan buah pinggang dan hampir seratus kes akut yang lain seperti kencing manis serta talesemia.
 
Disember lalu, Bashar bersetuju membenarkan 29 pesakit yang terkepung di Timur Ghoutah mendapat rawatan di Damsyik dengan syarat kumpulan penentang membebaskan 29 tahanan.
 
Tindakan itu dikutuk masyarakat antarabangsa.
 
Tidak sampai 24 jam pemindahan pesakit dibuat, regim dan sekutunya kembali mengganas dengan mengebom kawasan yang dihuni 400,000 penduduk itu.
 
 
 

Kongsi Artikel Ini