Travelog MKSC 6.0 : Bezanya anak Syria

15

Di luar sebuah khemah pelarian yang kami ziarah, terdapat ramai kanak-kanak yang wajah mereka kusam dan sangat menyedihkan.

Mereka ini telah dinafikan hak sebagai kanak-kanak dan sebagai manusia. Bencana kemanusiaan telah meragut keriangan mereka.

Saya agak sedih melihat mereka. Saya rasa seperti ingin memeluk dan memberi sedikit kasih yang berbaki dalam diri.

Namun mereka bermain ceria. Tidak ditunjukkan sebarang keperitan mahupun kegusaran pada wajah mereka hanya kecomoton yang terserlah. Dalam keselekehan itu, salah seorang dari mereka telah menghafal 6000 hadis. Allahuakbar! 

Andainya dapat saya bawa mereka balik ke Malaysia, mungkin jalan cerita menjadi berbeza. Hidup saya juga pasti berbeza. Mungkin juga saya tidak mampu mengurus kecekalan jiwa mereka. Tidak mampu memahami rentak budaya mereka. Tidak mampu memberi bahagia. Saya sendiri tidak pasti. Justeru Tuhan tidak mengizinkan permintaan saya dan ramai lagi menjadi kenyataan. 

Barangkali dalam agenda besar akhir zaman, anak-anak inilah yang bakal menjadi benteng perjuangan kebangkitan Islam kelak. Barangkali mereka inilah yang menjadi tonggak kekuatan Islam akhir zaman. Barangkali juga anak-anak inilah kelak yang akan menjadi generasi yang mempertahankan kedaulatan Islam di muka bumi.

Kerana itu, barangkali Tuhan memberi kecekalan dan semangat perjuangan yang tinggi buat mereka. Mereka dan AlQuran berpisah tiada. Mereka dan akidah terikat rapi sebagai mengangkat keyakinan jalan cerita karya Ilahi.

Syukur saya berpeluang menemui mereka walau seketika cuma. Kesedihan saya terhapus dek kecekalan jiwa mereka.

Sungguh! Mereka ini anak luar biasa. Doakan mereka. Doa buat kita juga. Kerana kitalah antara yang akan membantu mereka mengharung perih getir kehidupan mendatang.

Tuhan. Peliharalah mereka.

Nurdieana Mohd Mardzi
17/5/2018
Jarablus City

Kongsi Artikel Ini