Travelog MKSC 7.0 : Kem Zamka, Al Bab (Bahagian 2)

24

Sambung semula cerita kami memasuki Syria pada hari kesembilan. Tidak seperti hari-hari sebelumnya, kali ini kami bertolak dari hotel agak lewat sedikit kerana terdapat perarakan Hari Memperingati Pembebasan Bandar Gaziantep di hadapan hotel kami, jadi beberapa jalan ditutup.

Seperti hari sebelumnya kami menaiki dua buah kereta untuk menyeberang sempadan Kilis-Azaz. 

Perjalanan mengambil masa lebih kurang 2 jam untuk tiba ke destinasi. 

Sepanjang perjalanan, saya menghafal beberapa ayat untuk ditanya kepada anak-anak yatim dalam bahasa arab tempatan dengan bantuan Ustazah Siti Sakinah. Agak sukar kerana perlu praktis dengan intonasinya sekali. Kemudian, kami berhenti di suatu tempat dan dari situ kami menaiki van untuk ke tempat anak-anak yatim. 

“Your orphans are waiting for you” kata Dr. Hussam. 

Saya teruja dengan jawapan itu. Tidak sabar rasanya untuk berjumpa dengan mereka. Setibanya di situ, kelihatan beberapa anak yatim dan ibu mereka sedang menanti kedatangan kami. Mereka sebahagian daripada ratusan anak yatim yang ditaja oleh penaja budiman melalui Syria Care. 

Saya dan Ustazah Siti Sakinah menyapa serta bersalaman dengan mereka kemudian memberikan pek makanan ringan. Kemudian saya mula meluahkan ayat-ayat yang telah saya praktis di dalam kereta tadi, namun apabila mereka menjawab pertanyaan saya, saya pula tak berapa faham sangat dan tidak pandai hendak membalasnya . Nampaknya saya kena berusaha dengan lebih kuat lagi untuk mendalami Bahasa Arab. 😂

Aktiviti diteruskan lagi dengan menyerahkan pek pakaian dan selimut kepada ibu dan anak-anak yatim. Saya turut menyarungkan sehelai baju sejuk kepada anak yatim di situ. Muat dan sangat comel! 

Perasaan saya sukar untuk digambarkan. Kalau selama ini saya hanya menguruskan tajaan mereka dari jauh dan hanya melalui Dr. Hussam, sekarang kami bertentang mereka yang saya anggap seperti anak sendiri.

Saya cuba untuk melakukan yang terbaik agar mereka terus mendapat tajaan. 

Saya mendapat soalan daripada Abu Qusai, petugas kami di sana.

“Ada anak yatim baru?” tanya beliau.

“Ada penaja baru tetapi untuk anak-anak yatim sedia ada yang telah tamat tajaan mereka Oktober dan November lalu.” Jawab saya yang diterjemah Ustazah Siti Sakinah.

“Masih ramai anak-anak yatim baru yang sedang menunggu tajaan”, katanya lagi. 

Saya terdiam.

“Banyak yang perlu aku lakukan untuk mencari lebih ramai penaja anak-anak yatim ini” kata-kata ini bermain di dalam fikiran saya.

Sempena Tahun 2019, saya merayu supaya lebih ramai penyumbang tampil bersama Syria Care untuk membantu dan membela nasib anak-anak yatim Syria. 

Terlalu ramai yang menunggu bantuan bagi meneruskan hidup. 
Semoga Allah permudahkan urusan kita untuk membantu mereka yang memerlukan pertolongan. 

Nurul
Koordinator Projek Tajaan Anak Yatim Syria
Misi Kemanusiaan Syria Care 7.0
Syria

Kongsi Artikel Ini