28 kanak-kanak maut dalam 36 jam

WhatsApp Image 2018-08-14 at 2.03.39 PM

Sekurang-kurangnya 134 maut, termasuk kanak-kanak di utara Syria pada hujung minggu lalu.

Pengesahan itu dibuat Timbalan Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Farhan Haq pada sidang akhbar di ibu pejabat badan dunia itu di New York.

Jelasnya, insiden letupan depoh senjata di bangunan yang menempatkan orang awam di Sarmada pada Ahad lalu, mencatat angka kematian paling tinggi, di mana ia meragut nyawa 17 kanak-kanak.

Farhan berkata, mereka adalah sebahagian daripada 59 mangsa yang menjadi korban selepas bangunan lima tingkat ranap akibat letupan yang berlaku.
Bagaimanapun, angka berkenaan rendah sedikit jika dibandingkan dengan jumlah yang diperakui Syrian Observatory for Human Rights (SOHR), yang mendakwa adalah 67 terbunuh dalam kejadian itu.

52 daripadanya terdiri daripada orang awam, termasuk 17 kanak-kanak dan selebihnya dikatakan anggota kumpulan anti kerajaan yang tidak dapat dikenalpasti identiti mereka.

Menurut Farhan, secara keseluruhannya dalam tempoh 36 jam sahaja, lebih 28 kanak-kanak telah menjadi korban akibat keganasan konflik di wilayah yang bersempadan dengan Turki itu.

Katanya, serangan yang dilancarkan regim Bashar al Assad dan sekutunya turut mengenai tiga pusat kesihatan yang dikendali Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) sehingga menyebabkan dua daripadanya mengalami kerosakan teruk dan gagal berfungsi.

Atas sebab keselamatan juga, ia telah memaksa pihak berkuasa tempatan di Idlib menggantung semua sesi persekolahan./AP

Razali Awang
Media Syria Care

Kongsi Artikel Ini