207 kes pembunuhan beramai-ramai

Untitled
Sekurang-kurangnya tiga kes pembunuhan beramai-ramai dilaporkan berlaku di Syria sepanjang Ogos 2018.
 
Dalam laporannya Syrian Network for Human Rights (SNHR) mendakwa daripada 87 orang awam yang menjadi mangsa, 70 peratus terdiri daripada kanak-kanak dan wanita.
Perangkaan yang dikongsi di laman sesawangnya mengesahkan kanak-kanak menjadi korban tertinggi iaitu seramai 40 nyawa manakala 21 lagi adalah wanita.
 
Berdasarkan pecahannya, 36 daripada mereka menjadi mangsa serangan Rusia, termasuk 20 kanak-kanak dan tujuh wanita.
 
Selain itu, 11 orang awam, termasuk seorang kanak-kanak dan tiga wanita telah dibunuh kumpulan pemisah Kurdish.
 
Katanya, 40 lagi yang terdiri daripada 19 kanak-kanak serta 11 wanita telah dibunuh pelbagai pihak lain.
 
Menurut SNHR, angka itu adalah sebahagian daripada 207 kes pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan di Syria sepanjang 2018.
 
Ia juga menekankan bahawa Syria dan sekutunya, Rusia telah mencabuli resolusi 2139 dan 2254 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) kerana melancarkan serangan ke atas orang awam.
 
Kedua mereka juga telah melanggar Statute Rom, Artikel 7 dan 8 kerana melakukan pembunuhan dengan sengaja sekaligus melanggar hak asasi manusia.
 
Dalam laporannya, SNHR meminta Majlis Keselamatan mengambil langkah tambahan selepas resolusi 2139 dan 2254 diterima dengan membawa kes berkenaan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), bagi mengadili mereka yang terbabit.
 
Razali Awang
Media Syria Care

Kongsi Artikel Ini