Sekurang-kurangnya 59 orang awam menjadi korban terbaru dalam serangan ke atas bandar Harasta dan Douma di Timur Ghoutah.
Angka sebenar korban dijangka meningkat kerana di sesetengah tempat, pasukan penyelamat gagal memasukinya kerana serangan hendap masih berterusan.
Menurut White Helmets, regim Bashar al Assad dan konco-konconya telah melancarkan serangan udara dan darat ke atas bandar berkenaan.
Dalam kenyataannya ia mengesahkan tiga orang awam terkorban di Harasta manakala selebihnya di Douma.
Isnin lalu, Middle East Eye melaporkan lebih 50 serangan udara telah dilancarkan ke atas Douma dalam tempoh 48 jam.
Pengeboman itu tidak termasuk pelbagai bentuk serangan yang dari darat di bandar yang didiami 130,000 penduduk itu.
Sejak lima hari lepas, lebih 150 penduduk Timur Ghoutah terbunuh akibat serangan bertalu-talu tentera kerajaan dan sekutunya dalam usaha menawan kawasan itu dari tangan kumpulan penentang.
Dalam perkembangan berasingan, sekurang-kurangnya 39 maut di tengah ibu negara Syria, selepas serangan roket yang dipercayai dilancarkan salah satu kumpulan penentang mengenai sebuah pasar.
Kejadian yang berlaku pada Selasa di kawasan Jaramana turut mencederakan lebih 23 yang lain.
Ia dianggap serangan maut terburuk ke atas kawasan yang dikuasai kerajaan selepas konflik tercetus pada 2011.