135,000 kanak-kanak lari dari Daraa

hh

Jumlah pelarian Syria di sempadan Jordan dan Israel dilapor telah melebihi 270,000 orang, di mana 135,000 daripada mereka terdiri daripada kanak-kanak.

Menurut Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Amman, Jordan, Hitam Malkawi, jumlah pelarian yang dicatatkan adalah di luar jangkaan.

Dalam kenyataan kepada agensi berita Turki, Anadolu, beliau berkata, pihaknya menunggu masa yang sesuai untuk mengagihkan bantuan kerana ia masih menanti “lampu hijau” dari badan dunia itu.

Berikutan keadaan yang semakin kritikal di sempadan, Amnesty International turut mendesak Jordan supaya membuka pintu sempadan bagi membolehkan pelarian menyelamatkan diri dari serangan.

“Ia tidak terlalu lewat untuk menyelamatkan nyawa. Kami meminta semua pihak yang terbabit dengan konflik memberikan laluan selamat kepada orang awam untuk melarikan diri dari pertempuran dan meminta kerajaan Jordan membuka sempadan kepada pelarian dari selatan Syria,” kata Pengarah Penyelidik Amnesty International di Asia Barat, Lyn Maalouf.

Dalam kenyataan yang sama beliau turut mendesak agensi kemanusiaan diberikan kebenaran untuk memasuki Daraa kerana dengan cara itu bantuan boleh dihantar.

“Antara perkara dasyat yang lain, kami mempunyai bukti tentera kerajaan yang disokong Rusia berulang kali menyerang hospital terutama di kawasan orang awam melarikan diri.

Strategi yang sama dibuat sepanjang konflik. Serangan sebegini amat jelas mencabul undang-undang antarabangsa dan menyebabkan kesengsaraan yang tidak dapat digambarkan,” katanya.

Menurut Lyn lagi, berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada petugas perubatan, hospital lapangan di Al Hirak, Busr al Harir, Mseifra, Seida dan Al Jiza antara yang menjadi sasaran awal pengeboman tentera Bashar sebaik operasi menguasai kawasan berkenaan bermula.

Katanya lagi pertambahan pelarian memberikan tekanan kepada saki baki hospital di Daraa yang sebelum ini beroperasi dalam keadaan serba kekurangan.

Sementara itu dalam kenyataannya pada Ahad, Syrian Network for Human Rights (SNHR), mengesahkan 214 orang telah menjadi korban antara 15 hingga 30 Jun 2018.

Dari jumlah itu, 65 daripada mangsa terdiri daripada kanak-kanak. Manakala 43 lagi wanita.

Jumlah korban sebenar di Daraa dijangka lebih tinggi berikutan serangan tanpa henti ke atas kawasan berkenaan.

Razali Awang
Media Syria Care

Kongsi Artikel Ini