Penumpang tidak diundang

Perjalanan melepasi Afrin berjalan lancar meskipun terperangkap lebih 40 minit di tengah bandar itu.

Berasa begitu lega kerana bandar berkenaan adalah kawasan panas dan sama sekali tidak sesuai untuk dimasuki orang apatah lagi dengan muka sebegini. Sama sekali tiada rupa Arab atau Turki.

Teringat kata-kata Mohamad Nour, petugas baru di Sekolah Ulfah, Afrin tidak sesuai didiami kerana terlalu berbahaya.

Sesekali aku usap kepala Ahmad, anak Bassel yang menemani perjalanan ini. Sejak dari awal dia duduk di sebelah. Takjub dengan perwatakannya kerana dalam usia baru 12 tahun telah menghafal Al Quran.

Bassel dan Shadi yang berada di hadapan rancak bersembang dalam lahjah (dialek) Syria yang memang aku tidak faham sepatah haram.

Sesekali mencuri pandang kelajuan. Mak ai, boleh tahan juga Bassel ini membawa van. Dalam keadaan jalan yang sempit dan berbonggol-bonggol, ada kala melebihi 100km/sejam.

Aku faham kerana ia perlu disegerakan. Meskipun jam menunjukkan hampir dua petang dan masih ada empat jam untuk sampai ke pintu masuk Al Ra’ie yang memisahkan Syria dan Turki, kami tidak tahu apa yang menanti di hadapan.

Pemandangan dari Afrin menuju Al Bab cantik. Ditambah lagi dengan kedatangan Musim Bunga. Kombinasi warna hijau, kuning dan merah benar-benar menangkap mata.

Satu persatu pekan kami lepasi pos kawalan keselamatan daripada kumpulan penentang dan tentera Turki. Segalanya lancar.

Sebaik memasuki pekan Kafrah, tetiba Bassel memperlahankan van. Aku tertanya-tanya kenapa.

Apakah ada satu lagi dugaan?

Rupanya di sebelah kanan jalan, terdapat lelaki buta bersama dua yang lain melambai tangan untuk menahan kenderaan.

Mereka meminta ihsan untuk ditumpangkan.

Tanpa berfikir panjang, kami menjemput ketiga-ketiga mereka untuk bersama meneruskan perjalanan menghala ke Al Ra’ie.

Macam-macam kerenah sepanjang perjalanan dari Atma ke Al Ra’ie di sempadan Syria-Turki. Selain orang awam, kumpulan Mujahidin turut menjadi penumpang.

Lelaki yang buta itu ditemani anaknya dan seorang kebetulan berada di situ dan menghala ke laluan yang sama.

Walaupun tidak mampu melihat, apabila disebut aku dari Malaysia. Diangkatnya tangan se akan- akan mencari-cari aku yang berpindah ke kerusi belakang.

Aku pegang tangannya.

“Orang Malaysia baik-baik. Mereka saudara kami. Aku berdoa kepada Allah untuk lindungi mereka daripada sebarang bala,” katanya yang kemudian dijelaskan Shadi kepada aku dalam lahjah Fushah atau bahasa Baku Arab.

“Memang kami berdepan dengan ujian besar, Covid-19,” kataku dalam hati.

Oleh kerana tergesa-gesa meninggalkan Atma, aku tidak membawa sebarang bekalan makanan untuk dikongsi.

Tiba-tiba teringat sepapan Strepsil.

Selain ubat sakit tekak, ia juga gula-gula.

Aku buka beg sandang dan kemudian bahagikan sebiji seorang sebagai tanda meraikan tetamu. Semoga perjalanan kami diberkati dan selamat sampai ke destinasi.

Di sisiku ketika itu ada sebotol air, namun hati ini berat untuk berkongsi dengan sesiapa. Bukan apa, ia perlu dielakkan kerana berkongsi air bermakna mengambil risiko 100 peratus kemungkinan dijangkiti virus Covid-19.

Ini yang dikatakan lokek bertempat.

Satu demi satu pos kawalan kami tempuhi. Setiap kali ingin melepasinya ada sahaja “password”.

Itu tugas Bassel.

Sama ada nama keluarga, tempat dan adakalanya sambungan bacaan ayat-ayat suci Al Quran.

Namun ketika ingin keluar dari Souran, sekali lagi kami ditahan. Kali ini berbeza kerana anggota bertugas membuat permintaan khusus. Mereka
meminta untuk ditumpang sehingga ke Al Ra’ie.

Selain asal dari Mana, Facebook antara perkara yang wajib ditanya. Duduk di sebelah, Abu Hassan.

Bersama Kalashnikov di bahu, tiga daripada anggota Mujahidin menyertai perjalanan menghala ke pintu sempadan.

Keadaan dalam van semakin sesak. Daripada tiga, menjadi enam dan kini berjumlah sembilan orang termasuk pemandu.

Kini kami perlu berhimpit-himpit. Dalam situasi sebegini hanya mampu pasrah kepada Allah semoga tiada antara kami membawa virus Covid-19.

“Social Distancing” tidak diguna pakai di sini.

Bersambung…

Leave a Reply