Taja 300 pelarian Syria hijrah ke Kanada

Segalanya bermula selepas menyaksikan laporan kesengsaraan yang ditanggung pelarian Syria di kaca televisyen.

Terkesan dengan penderitaan yang disiarkan, Jim Estill mengambil usaha untuk melakukan sesuatu bagi membantu mangsa konflik.

Dia bertekad untuk membawa mereka yang sedang menderita memulakan hidup baru jauh dari kawasan perang, di tanah airnya sendiri, Kanada.

Namun selepas beberapa ketika menunggu, pada 2015, Jim mengambil inisiatif sendiri kerana kecewa dengan penangguhan yang dibuat kerajaannya untuk menempatkan pelarian.

Tanpa berlengah melalui the Program Tajaan Pelarian Persendirian atau Private Sponsorship of Refugees Program, usahawan berusia 62 tahun itu membelanjakan CAD1.5 juta (RM4.72 juta) dari poketnya sendiri untuk membawa 50 pelarian Syria ke bandar Guelph,Ontario di timur Toronto.

“ Jadi buat permulaan Jim membayar 50 keluarga pelarian Syria untuk ditempatkan di Guelph (populasi 135,000 orang).

“Menempatkan sebahagian mereka di rumahnya sendiri. Dia juga mengumpul kumpulan gereja dan 800 sukarelawan di seluruh bandar dan bekerjasama rapat dengan masyarakat Islam tempatan,” tulis BBC News.

Meskipun berbeza agama dan budaya, penduduk bandar berkenaan menyambut baik dengan menyediakan bilik dan mencari apartmen kosong sementara pertubuhan sukarela Salvation Army mengumpul pakaian musim sejuk untuk mereka.

Pada masa yang sama Jim menyediakan mentor berbahasa Inggeris dan Arab bagi setiap keluarga pelarian bagi membantu mereka dalam urusan persekolahan anak-anak, mencari kerja, membuka akaun bank dan lain-lain lagi.

Tidak cukup setakat itu, dia yang dikenali sebagai usahawan dan ahli perniagaan juga menyediakan peluang kerja sepenuh masa kepada 28 pelarian Syria di syarikat perniagaan peralatan rumah, Danby yang dimilikinya.

Bagi mereka yang lain, jaminan kewangan diberikan untuk memulakan dan menceburi bidang perniagaan.

“Keluarga ini hanya ingin merasa gembira, sama seperti orang lain. Mereka ingin masa depan tanpa ketakutan dan keganasan.Kita sepatutnya mengalu-alukan mereka kerana 99.9 peratus rakyat Kanada juga adalah pendatang,” katanya.

Sehingga kini Jim menaja 89 keluarga pelarian Syria yang mencakupi 300 orang.

“Terima kasih kepada Estill dan tajaan program. Guelph kini tempat baru saya.

“Isteri saya telah memulakan perniagaan stoking di tengah bandar,” kata Ahmad Abed, yang berasal dari Homs.

Atas kerja-kerja kemanusiaan yang dilaksanakannya, pada Mac tahun ini Jim telah dianugerah darjah penghargaan kedua tertinggi negara itu yang disampaikan Gabenor Jeneral Julie Payette yang mewakili Ratu Elizabeth 11.

Tulisan ini telah diterjemah dan diolah dari artikel yang disiarkan www.bbc.com. /Foto Jim Estill

Razali Awang
Media Syria Care

Leave a Reply