Isu Syria : Rezeki dari tanah kubur

Sepatutnya dalam usia yang mentah mereka berada di sekolah.

Namun konflik yang berpanjangan menyebabkan beratus ribu anak-anak pelarian Syria yang berlindung di Idlib tercicir dan tidak berpeluang untuk belajar.

Sebahagian besar mereka terpaksa membanting tulang demi kelangsungan hidup.

Tidak terkecuali, Jawad dan Yazan yang berusia 8 dan 15 tahun.

Ketika mereka yang sebaya dengannya berada dalam kelas lain pula kisah dan rutin harian dua beradik ini.

Bersama bapa, Ghassan, mereka bertiga berada di perkuburan untuk mencari rezeki sebagai penggali dan penjaga kubur di pinggir Idlib.

“Saya menolong ayah apabila seseorang datang dan ingin mengebumikan jenazah. Kami gali liang lahad kemudian menimbus dengan tanah, jaga dan segalanya. Kami menyiram pokok dan bunga dan apa sahaja yang bapa suruh kami lakukan,” kata Jawad ketika ditemuramah Save the Children.

Kerja yang dilakukan bukan mudah dan dia sendiri mengakui ia membosankan.

Apatah lagi pendapatan yang diperolehi tidak mencukupi.

Ketika ditanya perasaannya menghabiskan masa seharian di tanah perkuburan, ini jawapan yang diberikan Jawad.

“Saya tidak takut bekerja di sini kerana mereka semua telah mati. Semoga Allah beri rahmat kepada mereka dan kita juga,” katanya.

Bercerita mengenai masa depan anak-anak, Ghassan mengakui usahkan memberi pendidikan, pakaian dan keperluan lainpun dia tidak mampu sediakan kerana jumlah anak yang ramai.

“Jika hari ini dia ingin duit untuk membeli buku tulis, saya katakan kepadanya saya pokai. Di mana saya boleh dapatkan wang. Ada adik kecil yan perlu diberi makan, minum dan air.

“Ia amat memalukan kepada mereka bekerja di bawah bahang matahari. Mereka bekerja dengan saya dari jam 6 pagi hingga 7-8 malam. Kesian kanak-kanak, mereka tidak bersalah,” luah Ghassan.

Dia yang berasal dari Aleppo melarikan diri dari bandar itu sebelum ia dikuasai semula tentera regim Bashar al Assad yang memusnahkan rumahnya.

Tiada cerita indah bagi keluarga ini. Dalam usia yang masih mentah anak-anaknya menempuh pelbagai sengsara dan trauma.

Sebahagian mereka tidak pernah mengenal erti nikmat keamanan.

Hakikat itu diakui sendiri Yazan yang kini berusia 15 tahun.

Mayat yang digantung tanpa kepala dan perempuan direjam dengan batu oleh pengganas IS masih segar dalam ingatan dan sehingga kini menghantuinya.

“Ketika perang bermula saya lihar mayat digantung di kawasan awam, sebahagian kepala dipenggal, terdapat juga perempuan dibunuh dengan direjam, lelaki dicampak dari bangunan tinggi,” katanya.

Apa yang menjadi persoalan, tanpa pendidikan apa akan jadi dengan generasi ini selepas keadaan di Syria kembali aman?.

Bagaimana mereka akan berdepan dengan pasca perang dengan trauma yang ditanggung?.

Tulisan ini telah diterjemah dan diolah dari artikel yang disiarkan www.independent.co.uk./Foto Save The Children.

Razali Awang
Media Syria Care

Leave a Reply