Isu Syria : UNGA tidak beri sebarang makna

Perhimpunan Agung Tahunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang ke-74 berakhir minggu lalu tidak membawa sebarang makna kepada kesengsaraan yang ditanggung mangsa konflik di Syria.

Ketegangan diplomatik antara Arab Saudi dengan Iran, pengepungan serta sekatan tentera India ke atas penduduk Kashmir, kezaliman kerajaan Myanmar terhadap penduduk Rohingya di Rakhine, perluasan kawasan penempatan penduduk Yahudi oleh regim Zionis di tanah Arab yang dikuasai di Tebing Barat serta perarakan besar-besaran aktivis alam sekitar bagi mendesak tindakan lebih menyeluruh bagi menangani perubahan cuaca global telah menenggelamkan derita mangsa konflik di Syria.

Malang sungguh nasib mereka. Sepanjang debat bermula dari 24 September hingga 30 September, tiada satupun negara Liga Arab, Pertubuhan Kerjasama Negara Teluk (GCC) tampil untuk berbahas bagi mengetengahkan masalah yang kini meragut hampir 600,000 nyawa.

Senario itu berbeza dengan isu Rohingya. Selaku jiran dan anggota negara Asean, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah membawa isu berkenaan dengan penuh ketegasan sehingga ke tahap melabel Myanmar sebagai kerajaan yang zalim.

Lebih lantang, beliau mengkritik tindakan badan dunia yang kini memasuki 75 tahun sebagai gagal menyelesaikan krisi etnik sehingga menyebabkan jutaan orang menjadi pelarian.

Dalam nada lebih tegas Dr. Mahathir menyelar peranan PBB yang disifatkan tidak berupaya untuk menghentikan penindasan dan genosid yang berlaku.

Ketegasan yang sama disuarakan terhadap dasar pendudukan regim Zionis di kawasan Arab yang dikuasainya. Seperti ucapan-ucapan sebelumnya, Perdana Menteri yang berusia 94 tahun itu, tidak berganjak mengutuk keras perbuatan Israel.

Namun bagi mangsa konflik di Syria, tiada satupun saudara sebangsa dengan mereka yang tampil ke pentas untuk membawa serta membahaskan isu itu kecuali Turki, negara jiran yang kini menanggung beban lebih 3.7 juta pelarian.

Namun ucapan Presiden Recep Tayyip Erdogan lebih kepada penyelesaian “longgokan” rakyat Syria di negaranya serta peluasan zon keselamatan di dalam wilayah Turki bagi mengekang ancaman keselamatan dari seberang sempadan.

Ia sama sekali tidak menyentuh mengenai nasib serangan senjata kimia, pembunuhan beramai-ramai malah perincian mengenai gencatan senjata.

Manakala Rusia, yang menjadi sekutu hakiki Syria, menggunakan pentas perhimpunan agung kali ini untuk terus berdrama bagi mencari penyelesaian politik.

Menteri Luarnya, Sergey Lavrov berpendirian PBB perlu memainkan peranan penting sambil menuduh dunia Barat berat sebelah dalam isu kemanusiaan selain menghentam wartawan dan laporan media.

Kenyataan seperti itu adalah wayang Moscow kerana pada 19 September lalu, ia menggunakan kuasa vetonya untuk menghalang ketetapan PBB berkaitan cadangan untuk melaksanakan gencatan senjata di Idlib, Syria.

Di perhimpunan yang sama di New York, wakil Syria yang juga menteri luarnya, Walid Muallem mendesak semua tentera asing keluar dari bahagian utara negaranya bagi membolehkan tindakan sepatutnya diambil di kawasan berkenaan.

“Askar Amerika Syarikat dan Turki berada secara haram sebagai tentera asing
di utara Syria.

“Mana-mana askar asing di wilayah kami tanpa kebenaran adalah penaklukan tentera dan perlu keluar dengan segera,” katanya seperti yang dipetik dari Al Jazeera.

Bagaimanapun kenyataan beliau langsung tidak menyentuh kehadiran tentera Rusia yang selama ini bersekongkol melakukan serangan ke atas orang awam. Begitu juga dengan pasukan elit tentera Iran.

Apa yang menjadi persoalan, sekiranya kesemua kawasan berkenaan diserahkan kepada tentera regim Bashar al Assad, apa akan jadi kepada orang awam yang berada di situ?. Apa jaminan hak mereka akan dilindungi dari menjadi mangsa kezaliman seterusnya?.

Perkara itu langsung tidak disentuh.

Sama seperti perhimpunan agung sebelum ini, satu dunia tahu konflik di Syria adalah perang proksi antara kuasa besar namun kesengsaraan yang ditanggung rakyatnya terus tersisih.

Itu cerita mangsa konflik di Syria.

Belum lagi situasi di Yemen dan penindasan terhadap umat Islam di tempat lain terutama seperti penafian hak sebagai orang Islam etnik Uighur di China.

Maka kekallah OIC hanya sekadar Oh I See….yang hidup segan mati tidak mahu. /Foto Syria Care

Razali Awang
Media Syria Care

Caption :
Sepanjang debat bermula dari 24 September hingga 30 September, tiada satupun negara Liga Arab, Pertubuhan Kerjasama Negara Teluk (GCC) tampil untuk berbahas bagi mengetengahkan masalah yang kini meragut hampir 600,000 nyawa.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *