Atma dan Aku (Bahagian 1)

انا لم أولد في الشام ولكن أريد أن أكون جزء منها

Kata-kata ini terpacul di luar pusat pemeriksaan di Bab al Hawa sebelum kami melangkah ke sempadan Turki. Ketika itu aku mendakap Abu Syaaban, lelaki yang sentiasa mengiringi kami, 24 jam, siang dan malam sepanjang berada di Atma, Idlib.

Ketika itu air matanya berjurai dengan tidak henti-henti menadah tangan mendoakan kami dan rakyat Malaysia yang sanggup menjenggah menghulur bantuan kepada pelarian sepertinya di Syria.

Masa yang singkat dan keterbatasan bahasa bukan halangan.

Almaklum bahasa Arab telah begitu lama aku tinggalkan.

Bagi memahamkan aku, Abu Syaaban akan terangkan secara perlahan, satu persatu terhadap sesuatu perkara. Pernah di hari pertama aku sampai di Sekolah Ulfah (sekolah tajaan rakyat Malaysia melalui Syria Care) dia memimpin tanganku ke kandang lembu untuk menjelaskan projek wakaf lembu di situ.

Komunikasi antara kami ada ketikanya seperti ayam jumpa itik, kesudahannya kami ketawa.

Dalam keadaan serba kekurangan, dia akan pastikan yang terbaik untuk kami anggota Misi Kemanusiaan Syria Care 10.0. Dia yang pertama memasuki tempat kami menginap (ruang pejabat di atas masjid) untuk membukakan pintu supaya kami tidak kepanasan. Dia yang pertama bangun pagi dan membancuhkan teh dan kopi kepada mereka yang lain.

Kami tahu dia kepenatan kerana selepas ziarah dan tiba sekitar jam 8 atau 9 malam waktu Syria, dia akan kembali lagi ke Sekolah Ulfah. Katanya, ada kerja. Namun di wajahnya sentiasa terukir senyuman, tidak lekang dan suaranya amat sopan ketika berrbicara.

“يا أبو زين لماذا ؟ هل انت تعبا”

Tanyanya setiap kali aku kepenatan selepas menempuh perjalanan panjang dari Atma menyelusuri segenap kem pelarian bagi mengagih daging korban dan menghantar bantuan sejauh 140 kilometer sehingga ke Khirbet al Joz.

Usaha Abu Syaaban dan tiga lagi yang lain seperti Abu Ibrahim dan Ismail Kaya memberi kami semangat, melupakan segala penat lelah, lapar dan dahaga.

Bersambung…

Razali Awang
Konsultan Media Syria Care
Atma, Syria
Misi Kemanusiaan Syria Care 10.0

Leave a Reply