Ditembak mati ketika cuba jumpa anak


Selepas 25 hari dihantar pulang ke Idlib, Syria, Hisham Mustafa nekad untuk untuk kembali semula ke Istanbul, Turki, meskipun menyedari ia penuh dengan risiko.

Sepanjang tempoh pengusiran, siang dan malam dia memikirkan cara untuk kembali semula berjumpa bayinya yang berusia beberapa bulan, isteri dan anggota keluarga lain.

Tanggungjawab sebagai ketua keluarga membulatkan tekadnya untuk menyelinap masuk ke Turki.

Namun, takdir Allah mengatasi segala-galanya, hasrat Hisham tidak kesampaian. Ketika menghampiri kawasan sempadan, dia telah ditembak mati Jandarma, polis khas Turki.

Jenazahnya kemudian disempurna dan disemadi dekat Azmarin, Idlib lebih kurang sekilometer dari tempat dia menemui ajal.

Insiden pada minggu lalu kemudian dimuat naik di laman sosial oleh saudara maranya dan kemudian dipetik portal Zaman al Wasl.

Sepupunya, Abu Qais menegaskan pengusiran yang dibuat ke atas Hisham yang tiba dari Aleppo sejak 2016 adalah tidak sah kerana arwah telah mendapat status perlindungan sementara oleh pihak berkuasa Turki.

Tanggungjawab Hisham di dunia ini telah berakhir, bagaimana dengan nasib bayi dan keluarganya ditinggalkan Bagcilar, Istanbul?.

Siapa yang akan menjaga kebajikan mereka?.

Mengulas insiden yang menimpa Hisham, Human Rights Watch mengutuk tindakan Jandarma yang melepaskan tembakan rambang yang dibuat ke atas orang awam yang cuba memasuki sempadan Turki dari Syria.

Menurut Observatory for Human Rights (SOHR), mendakwa sejak 2011 lebih 422 rakyat Syria telah menjadi korban ketika cuba berbuat demikian.

Malang sungguh nasib rakyat Syria. Tinggal di negara sendiri kena bunuh. Menyelamat diri ke negara jiranpun kena bunuh. Apakah nyawa mereka tiada nilai?. Foto The New Arab

Razali Awang
Media Syria Care

Caption : Kasih ibu bawa ke syurga. Kasih bapa sanggup berkorban nyawa. Hisham (berbaju hitam) dibunuh ketika cuba melepasi sempadan Syria-Turki untuk berjumpa keluarga.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *