KEMPEN SATU RINGGIT SAYA UNTUK AWAK @ SK BUKIT BERUANG

Pada 25 Julai 2019, warga kerja Syria Care telah berpagi-pagian di tapak perhimpunan SK Bukit Beruang,Melaka. Kehadiran Syria Care di sana adalah untuk menjalankan program Kempen Satu Ringgit Saya Untuk Awak.

Kempen ini bertujuan memberikan maklumat tentang isu kemanusiaan di Syria. Syria Care mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak sekolah menerusi Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar, Cikgu Azman kerana sudi bekerjasama memberikan kebenaran untuk gerak kerja kesedaran kemanusiaan ini dijalankan.

Alhamdulillah, selepas menerima input tentang Syria yang disampaikan oleh Saudara Asyraf ,para pelajar telah dapat memahami serba sedikit mengenai konflik yang berlaku di Syria.

Atas kesedaran tersebut para pelajar telah beriltizam untuk membantu mereka yang teraniaya di sana sebagai rasa tanggungjawab kemanusiaan. Mereka telah meminta Syria Care untuk meninggalkan tabung fizikal bagi membolehkan mereka mengumpulkan sumbangan selama satu minggu dan berharap sumbangan itu nanti akan dapat meringankan beban saudara-saudara mereka di Syria.

Kesungguhan ini secara tidak langsung menunjukan bahawa para pelajar SK Bukit Beruang mempunyai nilai murni yang tinggi untuk membantu orang lain. Semoga penerapan nilai moral yang baik ini akan dapat terus diamalkan oleh para pelajar sehingga mereka dewasa kelak. Terima kasih SK Bukit Beruang atas keprihatinan dan kerjasama yang diberikan.

#RM1SayaUntukAwak #UpliftingSoulandHumanity

Leave a Reply