Travelog MKSC 9.0: Si Yatim Syria

Cerita anak-anak yatim Syria tidak akan habis. Terlalu banyak yang perlu dilakukan untuk membantu meringan bebanan mereka.

Mereka terpaksa bergantung kepada kita semua kerana keluarga yang ada tidak lagi sempurna. Ada kematian ayah, ibu dan lebih malang menjadi yatim piatu. 

Selepas beberapa siri, pertemuan pada misi kali ini berbeza dari yang sebelumnya. 

Saya dapat merasakan, kehadiran diri ini lebih diterima. Kami berkomunikasi walaupun macam ayam dan itik 😂 dan paling ‘best’ dapat menyampaikan sendiri amanah sumbangan tajaan rakyat Malaysia ke tangan mereka.

Malah kali ini saya mendapat panggilan ‘small mama’ (mungkin sebab saya tidak berapa besar) dan juga ‘ummul aytam’ (ibu kepada anak-anak yatim). 

Alhamdulilah, saya gembira dengan panggilan itu. 😊

Setiap kali bersua muka, seringkali kami mendengar doa daripada ibu-ibu mereka. “Allah yazidkum bil khair” 

Ternyata mereka sangat bersyukur dan sangat menghargai bantuan yang disalurkan. 

Apabila didekati, ramai si ibu meluahkan isi hati.

Kata mereka, ramai lagi anak-anak yatim tidak mendapat tajaan. 

“Boleh tak kau bantu kami, anak aku belum mendapat tajaan”

“Anak aku sakit begini dan begini, boleh kau bantu kami?”

Allahuakbar. Masih ramai lagi yang sedang menanti bantuan. 

Saya tidak mampu menjanjikan apa-apa kerana segalanya bergantung kepada tuan-puan. Tanpa tajaan kami tidak mampu melakukan ini semua. 

Setiap kali saya dan petugas lain kembali ke sini, mereka menanti dengan penuh harapan, akan ada berita gembira.

Saya tenung wajah-wajah mereka dan adakalanya, air mata ini tumpah. Kepayahan mereka benar-benar meruntun jiwa. 

Lisan saya dengan mereka terbatas tetapi bahasa jiwa telah menghubungkan kami.

Bertahanlah wahai anak-anakku. ‘Ummul aytam’ ini akan berusaha lebih keras lagi untuk mencari ramai lagi penaja buatmu. 

Nurul
Koordinator The Orphans Project

#travelogmisi
#misikemanusiaansyriacare9

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *