Travelog MKSC 9.0: Petugas misi diganggu dengan pisau!

Petugas misi diganggu dengan pisau!

Banyak cerita di hari pertama memulakan tugas di Al-Mina’ Tripoli, bandar di utara Lubnan yang mengadap Laut Mediterranean dengan dibelakangi kawasan pergunungan.

Di hari pertama pengagihan (13 Mei 2019) bertempat di sebuah sekolah, saya seperti biasa bersama para petugas yang lain terbabit dengan kerja-kerja pengagihan.

Di sini 800 pek makanan telah disediakan untuk diagihkan kepada mengikut senarai nama yang disediakan rakan kerjasama di sini.

Pada awalnya, ia berjalan lancar mengikut sebagaimana yang diatur.

Namun ketika lori kedua yang membawa bantuan mengambil tempat, keadaan beransur-ansur menjadi tegang. 

Berpusu-pusu orang datang, bukan sahaja pelarian Syria tetapi penduduk tempatan.! Semakin lama semakin ramai.!

“Oh mungkinkah pengagihan ini menjadi viral dalam WhatsApp?” kata-kata itu terdetik di hati saya.

Pada masa itu, muncul sekumpulan remaja Lubnan dan meminta kotak pek makanan dengan suara yang tinggi.

Lebih dari itu, salah seorang daripada mereka mengeluarkan pisau lipat.

Saya agak terkejut kerana ini kali pertama kes sebegini berlaku. Dalam banyak-banyak pengagihan kami tdak pernah lalui pengalaman ini. 

Ketika itu, salah seorang petugas kami yang juga orang tempatan membisikkan kepada saya supaya memberi apa yang mereka minta.

Beberapa pek makanan untuk rakyat Syria terpaksa dikorban kepada orang tempatan untuk mereda keadaan. Alhamdulillah kami membawa lebih dari diperlukan.

Keadaan semakin kecoh dengan nada marah serta jeritan daripada mereka yang datang dan demi keselamatan, ketua misi kali ini Ustazah Sakinah meminta para petugas misi Syria Care memasuki van yang membawa kami untuk berlindung bagi mengelak sebarang kemungkinan.

“Adakah mereka jadi sebegini sebab kerana susah dan terlalu terdesak ? Sehingga sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan sesuatu . Seolah-olah satu kotak pek makanan ini yang mungkin tahan sebulan atau tidak sampai satu bulan ni adalah satu nikmat yang besar bagi mereka,” sambil merenung dari cermin belakang. 

Jikalau boleh, saya dan petugas Syria Care ingin membantu semua orang, tetapi apakan daya, kami tidak mempunyai wang berbillion ringgit. Kami hanya sebuah organisasi kerdil yang bergantung sepenuhnya dari sumbangan dan derma orang ramai khususnya rakyat Malaysia dan negara-negara jiran.

Selepas keadaan beransur pulih, saya dimaklumkan 1,000 pek makanan telah diagih di situ. Pertambahan 200 pek dari jumlah asal. Itu sahaja yang dapat dilakukan buat masa ini.

Kesian pelarian Syria…

Muaz, 
Petugas Misi Kemanusiaan Syriacare 9.0
13 Mei 2019
Tripoli, Lubnan.

#travelogmisi
#misikemanusiaansyriacare2019

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *