Suami dan anakku kini di syurga

Lima tahun Khaled Haj Mustafa dan keluarganya menunggu dan menanti peluang di Jordan untuk berhijrah di negara asing selepas tanah tumpah darahnya, Syria dilanda konflik.
 
Doanya dimakbul tahun lalu apabila dia mendapat peluang untuk memulakan hidup baru di Christchurch, New Zealand, satu negara yang jauh di Hemisfera Selatan, ribuan kilometer dari tempat negara asalnya.
 
Seperti yang diharapkan, sebagai pelarian dan pendatang, ketibaan di suatu tempat asing disambut baik kominiti Islam di situ.
 
Seperti hari-hari sebelumnya, masjid menjadi tempat penting dia berkumpul, beramah mesra dan lebih-lebih lagi beribadat dengan berjemaah.
Namun Jumaat lalu, trauma yang sama seperti yang pernah dilalui di Syria sebelum ini kembali berulang.
 
Segala mimpi indah pergi bersamanya selepas dia turut menjadi mangsa serangan pengganas ketika berada di Masjid Al Noor.
 
Ketika itu, Khaled 44 tahun, berada di premis berkenaan bersama dua anaknya untuk menunaikan solat Jumaat.
 
Tembakan rambang yang dilepaskan turut meragut nyawa, anak sulungnya, Hamza.
 
Kedua beranak itu syahid di tempat kejadian manakala seorang lagi, Zaid kini dilaporkan kritikal selepas menjalani enam pembedahan akibat terkena tembakan.
 
Isterinya, Salwa Mustafa berkata, Hamza sempat menelofon sejurus selepas serangan dibuat.
 
“Emak ada orang masuk ke masjid dan menembak kami,” katanya seperti dilapor News Today 24H.
 
Ketika itu katanya, Hamza memberitahu sedang melarikan diri dan bersama adiknya yang kena tembak di kaki.
 
Cerita Salwa lagi, sejurus selepas itu dia mendengar bunyi tembakan serta jeritan dan itulah suara terakhir dari arwah.
 
Dia cuba memanggil anaknya tetapi mendengar “dengusan” sebelum segalanya menjadi diam.
 
Hamza sebelum ini dilaporkan hilang. Namun pada pagi Ahad, Syrian Solidarity New Zealand, mengesahkan dia antara mangsa yang terbunuh.
Ketika ditanya mengenai penyerang, Brenton Tarrant, ini jawapan Salwa.
 
“Allah akan membalas perbuatan dia (penyerang). Anak dan suamiku di syurga sekarang. Kami akan menyusul selepas mereka. Kami akan mengikuti mereka di syurga,” katanya dengan esakan.
 
Sewaktu ditemui di Hospital Christchurch dia menyifatkan Hamza yang juga pelajar di Sekolah Tinggi Cashmere sebagai anak yang paling menakjubkan, amat mengambil berat dan penuh dengan sopan santun.
 
Selain suami dan anaknya, sekurang-kurangnya 17 daripada 50 mangsa yang terbunuh dikenalpasti pendatang dari Syria.
 
Kini di satu tempat yang asing, Salwa terkontang-kanting bersama satu-satunya perempuannya yang masih hidup.
 
Hasbunallah wa ni’ma wakiil.
 
Razali Awang
Media Syria Care

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *