Bebaskan bapa aku dari penjara…

“Mesej aku kepada masyarakat antarabangsa, bebaskan bapaku dari penjara” kata-kata itu terpacul dari mulut Ahmad Rifa’ie, 11 tahun.
 
Dia juga tekad untuk menjadi peguam supaya suatu hari kelak dapat membebaskan bapanya yang kini merengkok dalam penjara di Lubnan.
 
Ketika menemuinya di kem pelarian Mujma’ Syam al Ansar, dia malu-malu untuk ditemubual. Tetapi selepas didekati Pengerusi Syria Care, Ustazah Siti Sakinah Meor Omar Baki, dia meluah apa yang tersirat dalam hatinya.
 
Kematian ibu dan bapanya yang dipenjara memberi kesan mendalam kepada perjalanan hidup Ahmad dan kakaknya, Haimah Rifa’ie, 13 tahun.
 
Namun kedua-dua mereka begitu tabah.
 
Jika si adik ingin menjadi peguam bagi memberi pembelaan kepada mereka yang dizalimi, kakaknya pula bercita-cita untuk menjadi doktor untuk berbakti kepada orang ramai.
 
Dia dan kakaknya, masih beruntung kerana mempunyai ibu saudara, Sua’ad Rifa’ie, 60 an yang sanggup memelihara mereka berdua meskipun cacat sebelah mata selepas terkena kaca.
 
Katanya, dia mengambil keputusan meninggalkan kampung halamannya di Hom dan menempuh perjalanan selama dua hari bagi menyelamatkan nyawa sementelah ibu kanak-kanak berkenaan meninggal dunia sewaktu Ahmad berusia dua bulan dan si bapa pula ditahan dalam penjara oleh regim Bashar al Assad.
Malangnya ketika menjejaki anak-anaknya selepas dibebaskan, Ghiyaz Rifa’ie sekali lagi ditahan. Kali ini oleh pihak berkuasa Lubnan kerana dituduh terbabit dengan kumpulan pengganas.
 
“Dua hari berjalan kaki dari Homs, sampai ke sini. Seorang dukung dan seorang pimpin tangan,” cerita Sua’ad .
 
Ahmad dan kakaknya, Haimah bernasib baik kera na mempunyai ibu saudara yang sanggup memelihara kerana dia sendiri tidak mempunyai zuriat. Jika tidak, sukar dibayang nasib kanak-kanak ini.
 
Razali Awang
Media Syria Care

Leave a Reply