Travelog MKSC 7.0 : Ayah tersungkur depan mata

Ayah tersungkur depan mata

Wartawan Mohd Azam Shah Yaacob dan Jurugambar Nor Farizan Abdull Rahman melaporkan dari Syria

QABASIN: Selekeh, tidak terurus, kerap sakit dan kekurangan zat makanan sehingga saiz badan lebih kecil berbanding usia antara masalah kanak-kanak di kem pelarian sekitar wilayah utara di negara ini.

Nasib dan masa depan kebanyakan mereka juga tidak menentu kerana keciciran pelajaran.

Difahamkan, ada antara mereka langsung tidak mengenal huruf atau membaca.

Lebih teruk, ada antara mereka hidup dalam trauma selepas menyaksikan kekejaman tentera Bashar Al Assad serta pemberontak Kurdish dan Daish yang bermaharajalela.

Mereka melihat ibu atau bapa dipukul di depan mata dan seorang demi seorang ahli keluarga atau saudara-mara meninggal dunia dalam keadaan mengerikan akibat ditembak atau maut terkena letupan roket dan bom.

Kanak-kanak yatim Zain Ahmed, 12, yang ditemui di Kem Zamkaa di sini, antara ribuan atau mungkin jutaan pelarian kanak-kanak yang menghadapi masa depan suram berikutan membesar dalam persekitaran tidak sihat.

Tinggal di kem itu sejak dua tahun lalu selepas lari dari tempat tinggalnya di Daraa bersama ibunya, kanak-kanak itu hanya berdiam diri dan merenung wajah wartawan yang cuba berbual dengannya.

Bagaimanapun, dengan bantuan penghuni di situ yang memujuknya, baru dia mahu berkongsi cerita kehidupannya.

Menurut Zain, dia menjadi yatim selepas bapanya ditembak di kepala oleh tentera Bashar dalam serangan pada penghujung 2016.

Katanya, kejadian berlaku pada waktu malam ketika dia sekeluarga bersama beberapa penduduk cuba melarikan diri sebelum ditembak tentera Bashar.

“Bapa saya meninggal dunia di depan mata apabila terkena peluru di kepala. Ketika itu kami mahu lari dari Daraa dan mayatnya ditinggalkan di situ kerana tentera Bashar melepaskan tembakan ke arah kami tanpa henti.

“Sebelum ini, dua bapa saudara dan sepupu juga maut dalam serangan roket oleh tentera Bashar,” katanya ketika ditemui dalam misi Bantuan Musim Sejuk Syria Care 7.0 diketuai Pengerusinya, Siti Sakinah Meor Omar Baki di Kem Zamkaa, semalam.

Sama seperti kanak-kanak lain, Zain bukan saja hidup dalam memori pahit, malah kekurangan zat makanan.

Badannya kecil walaupun menjangkau usia 12 tahun dan buta huruf.

Malah, ketika ditanya mengenai cita-citanya, Zain tidak tahu menjawab melainkan hanya mahu hidup bahagia bersama ibunya.

Wartawan difahamkan, hampir 1,000 kanak-kanak tinggal di Kem Zamkaa dan 90 peratus daripada mereka kekurangan zat makanan serta keciciran pelajaran.

Itu tidak termasuk masalah kesihatan berikutan tidak mendapat imunisasi dan rawatan kesihatan sewajarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Disember 2018 @ 9:14 AM

https://www.hmetro.com.my/utama/2018/12/403294/ayah-tersungkur-depan-mata

Diterbitkan di akhbar.
https://www.facebook.com/syria.care/photos/a.1561977457222420/1971662736253888/?type=3&theater

Leave a Reply