Nour…Damailah kau sana

Nour Jablawi hanya berusia 12 tahun dan lebih separuh dari hayatnya, dia tidak pernah mengenal nikmat keamanan seperti rakan sebaya di tempat lain.

Alam kanak-kanak yang dilaluinya penuh dengan kesusahan, kelaparan, tragedi, dan kematian. Belum sempat dia melewati alam remaja, Nour telah menjadi korban keganasan di tanah air sendiri.

Dia dibesar di tengah konflik dan kekacauan itu juga telah meragut nyawanya, pada Rabu lalu.

12 Disember menjadi hari terakhir Nour dan bapanya, Salim Jablawi yang buta, mundar-mandir di tengah bandar Azaz.

Sudah suratan kedua-duanya, ditakdirkan menjadi mangsa serangan bom kereta sewaktu melewati kawasan berkenaaan. Ketika itu mereka sedang mencari rezeki dengan menjaja biskut.

Si anak mati serta merta di tempat kejadian dan bapanya kritikal.

Namun selepas enam hari bertarung, semalam, Salim tewas. Dia dijemputNya kembali alam baqa bersama Nour.

Kedua-dua mereka hanya insan marhain yang mencari rezeki demi kelangsungan hidup. Nour dan bapanya hanya menjinjit bakul dan bertemankan tongkat bukannya menggalas senjata.

Malangnya nyawa insan yang tidak bersalah ini telah menjadi korban perbuatan manusia bacul, yang menjadikan orang awam sebagai sasaran.

Derita Nour dan bapanya di dunia fana telah berakhir. Damailah mereka di sana bertemankan bidadari di taman-taman syurgawi.

Razali Awang
Media Syria Care

Leave a Reply