Travelog MKSC 7.0 : Serangan bom kereta di sebuah pasar dekat Afrin, utara Syria.

Semalam, dalam keadaan badan yang masih mamai selepas dua hari pulang dari misi kemanusiaan selama 17 hari di Lubnan, Turki dan Syria, saya tersentak.

Status yang dimuatnaik dan dikongsi di laman Facebook dan WhatsApp mengejutkan saya. Hilang segala rasa lemah badan. Jantung berdegup kencang dan adrenalin turun naik.

Segalanya Allah punya kuasa. Kata-kata itu berulangkali meniti di mulut saya apabila membaca laporan mengenai serangan bom kereta di sebuah pasar dekat Afrin, utara Syria.

Dalam kejadian pada Ahad, sekurang-kurangnya lapan nyawa orang awam telah menjadi korban keganasan. Berpuluh lagi maut.

Manakan tidak saya terkejut, Afrin merupakan salah satu tempat yang saya dan petugas misi lawati baru-baru ini. Malah kami difahamkan kami adalah NGO pertama dari Malaysia yang dibenarkan masuk ke sana. Dan seingat saya kawasan pasar tempat serangan berlaku sempat kami lewati. Masih terbayang di mata susun atur sayur-sayuran dan buah-buahan. Semamangnya tanah Sham itu penuh berkah. Buah-buahan dan sayuran yang tidak terkena bedilan bom tumbuh subur. 

Bukan di Afrin sahaja. Malah sebelum itu di Azaz, al Ra’i dan al Bab juga berlaku serangan. Semua kawasan itu termasuk dalam siri lawatan kami baru-baru ini. 

Allah masih panjangkan usia kami. Allah memelihara kami dari terkena serangan manusia yang hilang aqal dan pertimbangan. Saya menarik nafas panjang. Syukur padaMU Ya Allah. 

Saya tertanya-tanya manusia jenis apakah atau perjuangan jenis apakah yang sanggup menumpahkan darah insan yang tidak berdosa?.

Sebelum ini, kisah gadis sunti, Nour Jablawi membuatkan saya sebak. 

Dia syahid ketika menemani bapanya selepas terkena letupan pada Rabu lalu, juga angkara bom yang dipasang pada kereta.

Nour hanya berusia 12 tahun dan dikenali di sekitar Azaz kerana sering keluar bersama bapanya yang buta mencari rezeki di jalanan.

Nour, bak nama mu “cahaya” damailah di sana bersama sang bidadari di taman syurgawi.

Semoga Allah terima semua amalan kita lalu kita ditempatkan di syurga bersama-sama. 

Siti Sakinah binti Meor Omar Baki
Ketua Misi Kemanusiaan Syria Care 7.0
18 Disember 2018
Shah Alam

#travelog
#misikemanusiaansyriacare7
#bantuanmusimsejuk

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *