Travelog MKSC 7.0 : Gabenor Afrin (Bahagian 2)

Saya sering ditanya apa perasaan saya dapat masuk Syria. Seronok ke tidak?

Bohonglah andai saya kata tidak. Masakan tidak, saya telah berkerja dalam bidang kemanusiaan ini secara sepenuh masa selama empat tahun. 

Selepas tiga tahun berkerja baru saya berpeluang untuk masuk ke Syria. 

Tiga tahun berkerja sepenuh masa tapi sekalipun tak pernah menjejakan kaki ke sana, namun itu tidak pernah melemahkan semangat untuk membantu. Kerja yang mampu kita lakukan dari sini terlalu banyak. Percayalah!

Tentu sahaja peluang untuk menjejakan kaki ke bumi Syria yang penuh barakah dan menghirup udaranya menjadi sesuatu yang sangat diimpikan. Alhamdulillah doa saya dimakbulNya.

Namun apa yang dilihat sewaktu berada di sana bukanlah sesuatu yang menggembirakan hati. Khemah pelarian di mana-mana. Ia didirikan di celah-celah pokok zaitun. Di atas tanah yang lembab dan basah. Tanah yang becak akibat hujan di musim sejuk. Baunya Allah sahaja yang tahu. Itu belum lagi tandas! Saya sering tertanya-tanya bagaimana mereka ‘membuang’.

Soalan saya terjawab apabila saya ditunjukkan kawasan kain yang diikat atau binaan sekerat tanpa bumbung. Di situlah tandas. Pening kepala jika difikirkan terlalu mendalam kehidupan mereka. Itu kita, yang cuma datang sekali menjengah. Bagaimana dengan mereka?.

Pelarian tinggal di situ bukan sehari dua, bukan sebulan dua. Malah ada yang telah tinggal di khemah lebih dari tiga hingga tahun tahun! Dalam khemah!.

Kita pasti tak mampu untuk melaluinya. Eletrik tiada. Sumber air bersih juga susah. Segalanya payah.

Ketika musim panas bahang yang meluap-luap memaksa mereka mencari tempat berteduh di luar. Ketika musim sejuk lain pula cerita, suhu amat dingin sehinggakan sehingga menembusi dinding tempat mereka berlindung.

Hasbunallah wa ni’mal wakil.

Itu belum lagi bila banjir. Air lumpur masuk ke dalam. Tidak tergambar dengan fikiran kepayahan yang terpaksa mereka lalui. 

Di Kem Zamka,Al Bab tempat saya berjumpa seorang anak. Naluri ini ingin menyentuh, tetapi nasihat sahabat saya jangan berbuat demikian kerana dikhuatiri ia akan berjangkit.

Dari satu tempat ke satu tempat, saya cuba cekalkan hati melihat satu persatu penderitaan mereka, adakala air mata ini tidak putus-putus tumpah.

Mereka saudara seagama, manusia sama seperti kita walaupun nun jauh di sana. Jarak, bahasa dan budaya bukan pemisah. 

Ada masa nanti saya berkongsi pengalaman lagi.

Siti Sakinah binti Meor Omar Baki,
Ketua Misi Kemanusiaan Syria Care 7.0
Bantuan Musim Sejuk 6.0

#travelog
#misikemanusiaansyriacare

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *