Travelog MKSC 7.0 : Gabenor Afrin (Bahagian 1)

Hari kelapan Misi Kemanusiaan Syria Care 7.0
6 Disember 2018(Bahagian pertama)

“ Kenapa awak orang Asia duduk jauh datang untuk bantu orang Syria”. Pertanyaaan ini terpacul sewaktu kami menjadi tetamu Gabenor bandar Afrin,Said Shanun.

Soalan “spot” itu saya jawab dengan lancar, ringkas dan padat kerana telah “mangli”atau biasa.

“Syria bukan isu Syria sahaja tetapi isu umah,”.

Belumpun sempat nak ke gear dua, untuk mengulas dengan lebih lanjut, dia kata cukup.

“Alahai terasa macam datang temuduga kerja pula,” bisik hati.

Meskipun berjawatan tinggi, Said seorang yang amat rendah diri bahkan dalam perbualan, dia berkali-kali menzahirkan rasa rendah diri kerana dapat berbakti kepada pelarian Syria.

Layanan baik dengan pekertinya yang begitu murni membuatkan saya rasa sebak.

Kami bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan TDV dan seterusnya terima kasih kepada Mufti Hatay, Abdurrahman shahin
yang berusaha membantu melicinkan urusan ini sehingga membawa kepada pertemuan dengan Datuk Bandar juga Gabenor Afrin.

“Dari situ kita jumpa Gabenor Bandar Afrin. Banyak sangat nikmat Allah bagi. Saya rasa terharu, menitis air mata dan “humble”. Rasa rendah diri dengan apa yang Allah bagi sebenarnya banyak sangat. Mereka puji Malaysia,” saya rakamkan kata-kata ini dalam hati berkali-kali.

Saya tidak sangka kerana Syria Care bukan NGO besar tetapi mereka begitu menyambut baik. 

Dalam satu hari kami berjumpa dua orang Said dan kedua-dua mereka orang penting yang dapat membantu misi kemanusiaan Syria Care di kawasan Afrin yang mana sembilan bulan lepas dibebaskan dari pengganas Kurdish, YPG.

Mereka kata, dalam dunia terdapat dua contoh negara Islam dalam dunia hari ini pertama Turki, kedua Malaysia. 

Mendengar kata-kata itupun membuat air mata ini berjurai,

Dalam pertemuan itu, kami berbincang beberapa perkara berkenaan misi serta urusan kerja kerja Syria Care. 

Gabenor Bandar Afrin sangat mengalu-alukan kerjasama usaha yang dilakukan. Ia berita gembira khususnya kepada mereka penyumbang Syria Care yang tidak pernah jemu membantu pelarian Syria.

Syria Care cuba untuk merakam gambar kenang-kenangan dengan Datuk Bandar Afrin, namun permintaan itu tidak kesampaian kerana beliau enggan.

Selesai pertemuan kami dibawa ke masjid di mana mereka orang mengadakan sambutan Maulidur Rasul.

Kami di bawa ke tingkat atas bangunan masjid, cuaca sejuk sangat, badan rasa penat dengan perjalanan yang jauh ditambah malam sebelumnya saya tidak lena. Bukan tidak tidur tetapi terjaga awal sangat, pukul 1 sudah terjaga. 

Dalam keadaan terawang-awang kerana mengantuk, sebenarnya hari ini amat istimewa. 
Allah telah mengatur yang terbaik, terima kasih kepada mereka yang sentiasa mendoakan kelancaran misi.

Siti Sakinah binti Meor Omar Baki
Ketua Misi Kemanusiaan Syria Care 7.0

#travelog
#misikemanusiaansyriacare
#bantuanmisisejuk

(Travelog ini telah disusun oleh Konsultan Media Syria Care Saudara Razali Awang)

Leave a Reply