Dakwa mati kerana stroke dan jantung

Pasukan penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meminta regim Bashar al Assad memberikan butiran rekod perubatan kepada kaum keluarga mangsa yang mati atau dibunuh ketika berada dalam tahanan.
 
Dalam kenyataannya Suruhanjaya Inkuiri Antarabangsa mengenai Syria (ICFS) berkata, selepas bertahun-tahun menyembunyikan perbuatan yang dilakukan ke atas mereka yang disyaki menentang pentadbirannya, hanya pada tahun ini ia mengeluarkan senarai nama yang mati.
Bagaimanapun senarai itu tidak dikemaskini.
 
Ia mendakwa lebih sepuluh ribu tahanan telah meninggal dunia antara 2011 hingga 2014.
 
Sehubungan itu, suruhanjaya berkenaan juga mendesak supaya didedahkan kepada umum nasib yang menimpa tahanan atau mereka yang selama ini hilang.
Ulasnya lagi anggota keluarga mangsa mempunyai hak untuk mengetahui apa yang berlaku ke atas mangsa dan mengesan di mana mereka ditanam.
Dalam sijil kematian yang dikeluarkan, pentadbiran Bashar dikatakan cuba menyembunyikan pengainayaan yang dilakukan ke atas tahanan dengan menyatakan punca kebanyakan mangsa meninggal dunia kerana serangan jantung dan stroke.
 
“Kebanyakan individu berasal dari kawasan yang sama dan turut berkongsi tarikh kematian yang sama yang menunjukkan berlakunya pembunuhan secara berkumpulan,” kata panel bebas ICFS, Paulo Pinheiro.
 
Dalam kebanyakan kes, kematian dilaporkan berlaku bukannya di pusat tahanan tetapi di hospital tentera di Tishreen atau di Mujtahid yang terletak berhampiran Damsyik
 
Pada 2016 panel ICFS juga menemui petunjuk skala kematian besar dalam penjara yang menunjukkan ia angkara regim dan sekutunya, termasuk Rusia.
Sejak Mac 2011 hingga penghujung 2015, Amnesty International menganggarkan lebih kurang 17,723 orang telah mati ketika berada dalam tahanan.
 
Bagaimanapun dalam kenyataannya, Syrian Observatory for Human Rights (SOHR), mendakwa jumlahnya lebih besar di mana lebih 60,000 tahanan dikatakan telah menemui ajal kerana didera, kelaparan dan tidak mendapat rawatan.
Foto SNHR.
 
Razali Awang
Media Syria Care

Leave a Reply