Kem Rukban: Keadaan masih kritikal

Bantuan kemanusiaan yang dihantar misi bantuan kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) dan Syrian Arab Red Cresent (SARC) ke kem Rukban hanya dapat menampung keperluan sementara pelarian.
 
Pegawai PBB, Fadwa AbedRabou Baroud yang turut serta dalam misi itu berkata keadaan di masih kritikal dan ia dijangka menjadi lebih buruk dengan kedatangan musim sejuk.
 
“Melainkan penghantaran bantuan dengan kerap dibenarkan, kalau tidak keadaan di kem terus merosot dengan keadaan musim sejuk yang teruk.
“Secara keseluruhan keadaan kemanusiaan di kem Rukban masih teruk dengan kekurangan keperluan asas, tempat berlindung dan kematian kanak-kanak yang dilaporkan kerana tidak mendapat rawatan,” jelasnya kepada Reuters.
 
Beliau berkata demikian selepas konvoi kemanusiaan berkenaan menyelesaikan misinya di kem itu.
 
“Kami telah selesai mengagihkan semua barangan, makanan, sanitasi serta bekalan kebersihan dan keperluan asas lain,” katanya.
 
Sepanjang tiga hari berkampung, lebih 10,000 kanak-kanak telah diberikan vaksinasi bagi melindungi mereka dari penularan wabak seperti campak dan polio.
 
Konvoi yang dikawal ketat tentera Rusia, terdiri dari 70 trak yang membawa pelbagai bantuan tiba di kem Rukban pada Selasa lepas dan berakhir pada Rabu.
Ia penghantaran misi pertama bantuan kemanusiaan daripada masyarakat antarabangsa selepas ia disekat tentera regim Bashar al Assad dan sekutunya sejak Januari lalu.
 
Sebelum ini, konvoi berkenaan beberapa kali tertangguh kerana alasan keselamatan dan logistik.
 
Menurut perangkaan tidak rasmi, terdapat lebih 60,000 pelarian berlindung di kem Rukban yang bersempadan dengan Jordan dan Iraq, 80 peratus daripada mereka terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
 
Foto AFP
 
Razali Awang
Media Syria Care

Leave a Reply